Thursday, February 4, 2010

Terengganu Peruntuk RM2. 6 Juta Sebagai Dana Khas Tahun Baru Cina

Seramai 9,092 masyarakat Cina di Terengganu akan diberi dana khas sebanyak RM300 seorang sempena sambutan Tahun Baru Cina di bawah peruntukan RM2.6 juta yang disediakan kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata pemberian dana itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri Barisan Nasional terhadap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kerajaan tidak pernah pilih kasih dalam soal pemberian wang dana khas ini, baik kaum Melayu, Cina mahupun India.

"Setiap kali menjelang musim perayaan, kita akan memberikan wang ini yang sekaligus dapat meringankan bebanan mereka dalam menyediakan persiapan untuk menyambut perayaan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis pemberian wang dana khas berkenaan kepada masyarakat Cina di kawasan Parlimen Kemaman semalam.
Lebih 2,084 orang kaum Cina dari kawasan Dewan Undangan Negeri Air Putih, Kemasik, Chukai dan Kijal menerima wang dana khas itu.

Ahmad berkata pemberian wang dana khas itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut kawasan Parlimen yang keseluruhannya dijangka menerimanya selewat-lewatnya pada 9 dan 10 Jan ini.

Tahun Baru Cina akan disambut pada 14 Februari ini.

Seorang penerima Yaw Chaw, 57, yang juga seorang ibu tunggal berkata pemberian wang tersebut sedikit sebanyak akan mengurangkan bebannya dalam menyediakan persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina nanti.

"Pendapatan saya sebagai seorang penoreh getah tidak seberapa. Jadi dengan adanya duit ini dapatlah saya menggunakannya untuk membeli sedikit sebanyak barangan untuk persiapan Tahun Baru Cina," katanya.

Bagi seorang pemandu lori Chau Ah Ban, 52 dari Kampung Kubang Kurus, beliau begitu berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri yang membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya.

No comments:

Post a Comment