Monday, February 15, 2010

5,000 kunjungi rumah terbuka MCA

Seramai 5,000 tetamu mewakili pelbagai kaum mengunjungi Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Pengerusi MCA Terengganu, Toh Chin Yaw berkata, sambutan di luar dugaan yang diberikan masyarakat di kawasan ini jelas menunjukkan matlamat kerajaan mewujudkan gagasan 1Malaysia hampir tercapai.

“Saya sendiri tidak menjangkakan sambutan begitu meriah pada tahun ini jika dibandingkan tahun sebelumnya. Kehadiran masyarakat daripada pelbagai bangsa dan agama jelas menunjukkan bahawa perpaduan masyarakat di negeri ini semakin utuh dan membanggakan,” katanya semalam.

Menurut Chin Yaw yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, memandangkan majlis rumah terbuka itu turut dihadiri pelbagai kaum, pihaknya mengambil inisiatif menghidangkan pelbagai menu makanan tradisional mewakili semua kaum termasuk Cina, Melayu dan India.

“Namun begitu, kami lebih menumpukan makanan tradisional kaum Melayu memandangkan majoriti masyarakat di sini sudah sinonim dengan menu seperti sate, nasi minyak, nasi dagang dan sebagainya,” katanya.

Antara ahli politik yang turut hadir majlis tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

No comments:

Post a Comment