Kehidupan warga emas, Abdul Rahman Ibrahim, 72, dari Kampung Fikri di sini yang terlantar akibat serangan angin ahmar tujuh bulan lalu dilanda kesunyian kerana tiada sanak saudara datang menziarahinya.
Namun, kesunyian itu bertukar menjadi kegembiraan apabila Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee melawatnya secara mengejut di rumahnya, baru-baru ini.
Warga emas yang mempunyai tujuh orang anak itu hidup terlantar kerana tidak dapat bergerak serta berjalan selepas diserang penyakit itu.
Abdul Rahman memberitahu, pada mulanya dia amat terkejut kerana kedatangan Mohd. Jidin ke rumahnya tidak dimaklumkan terlebih dahulu oleh sesiapapun.
''Saya tak sangka beliau (Mohd. Jidin) yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian tetapi dapat juga meluangkan sedikit masa untuk menziarahi saya.
''Beliau memang seorang pemimpin yang prihatin dengan masalah rakyat kerana sanggup melawat orang sakit seperti saya," katanya.
Dalam kunjungan tersebut, warga tua itu yang kini tinggal bersama tiga orang anaknya turut mendapat sedikit sumbangan daripada Mohd. Jidin.
Abdul Rahman yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan mendapat bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Setiu.
No comments:
Post a Comment