UMNO Terengganu harus memberi perhatian serius terhadap kawasan yang dimenangi pembangkang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali bertapak kukuh di negeri ini.
Bendahari Pergerakan Wanita UMNO Terengganu, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, usaha itu penting kerana Pilihan Raya Umum ke-13 akan menjelang tidak lama lagi dan BN perlu bergerak awal dari sekarang.
:Menurutnya, kawasan utama yang harus diberi tumpuan adalah kubu kuat pembangkang di Marang dan Kuala Terengganu kerana sebahagian besar lokasi di sana berada di bawah penguasaan Pas sejak beberapa tahun lalu.
“Tumpuan sentiasa diberikan kepada kawasan pembangkang dan gerak kerja telah, sedang dan akan dilaksanakan meskipun ada dakwaan mengatakan beberapa lokasi di negeri ini adalah kubu kuat Pas.
:“Pembangkang sebenarnya tidak ada kekuatan namun mereka menggunakan taktik memberi kemenangan kepada mereka termasuk memalsukan pengundi,” katanya kepada Sinar Harian.
Zaitun berkata, dia percaya sokongan rakyat terhadap BN akan meningkat, apatah lagi kerajaan memperkenalkan Program Juara Rakyat yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu katanya, tidak ada sebab kenapa rakyat harus menolak UMNO dan BN kerana kerajaan telah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan nasib serta kebajikan mereka terbela sebaik mungkin.
“Hanya UMNO dan BN dapat memberi masa depan gemilang kepada rakyat. Kami akan berusaha menarik sokongan rakyat khususnya di kawasan dikuasai pembangkang,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment