Thursday, February 25, 2010

Bomba Terengganu Selamatkan Taksiran Harta Sebanyak RM335j Tahun Lepas

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berjaya menyelamatkan harta benda dan bangunan dengan nilai taksiran lebih RM335 juta daripada musnah dalam kebakaran sepanjang tahun lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pauzan Ahmad berkata jumlah itu meningkat berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM74 juta.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Bomba Sehari Bersama Media di sini hari Selasa, beliau berkata, jabatan itu mensasar untuk menurunkan lebih 50 peratus lagi jumlah kerugian akibat kebakaran dengan mengadakan lebih banyak kempen kesedaran di kalangan masyarakat.

Sementara itu, Puazan menyifatkan lebih 15 hingga 20 peratus daripada 15,281 pili bomba di negeri ini berada dalam keadaan kritikal disebabkan kerja-kerja pelebaran jalan dan pembangunan semula di sesuatu kawasan.

"Di Terengganu pada masa kini, banyak pelebaran jalan-jalan sedang dilakukan dan ia menyebabkan pili-pili bomba yang sedia ada dikambus sehingga menyukarkan kerja-kerja jabatan apabila berlaku sesuatu kebakaran," kata beliau.

Katanya, kontraktor yang terlibat seharusnya mengalihkan pili bomba tersebut di satu kawasan lain yang berhampiran dengan kos yang ditanggung sendiri oleh pihak terbabit dan kemudiannya memaklumkannya kepada jabatan bomba.

No comments:

Post a Comment