Thursday, February 25, 2010

MAHB Akan Kumpul RM2.5 Bln Menjelang Separuh Pertama Tahun Ini

Malaysian Airports Holdings Bhd (MAHB) bercadang untuk mengumpul kira-kira RM2.5 bilion menjelang separuh pertama tahun ini, terutamanya untuk pembangunan terminal penerbangan tambang rendahnya (LCCT) yang baharu dan pengembangan seberang laut.

Ketua pegawai kewangannya Faizal Mansor berkata syarikat kini melihat pelbagai pilihan seperti ekuiti atau hutang.

"Kami sedang meninjau untuk menambah tunai kerana kami akan membina LCCT baharu dan kami perlu memuktamadkannya sebelum separuh pertama," kata beliau kepada pemberita selepas mengumumkan laporan tahun kewangan syarikat untuk 2009 semalam.
MAHB pada masa ini mempunyai wang tunai RM250 juta, kata beliau.

Menurut beliau, kos pembangunan LCCT yang baharu ialah kira-kira RM2 bilion dan projek itu dijangka siap pada tahun 2011.

Untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2009, MAHB mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM479.663 juta, naik 13.61 peratus daripada RM422.196 juta pada 2008 berikutan pendapatan tinggi secara keseluruhan dan masuk kira dalam peruntukan untuk hutang ragu berjumlah sehingga RM32 juta.

Pendapatannya mengukuh kepada RM1.64 bilion, meningkat 14.07 peratus daripada RM1.44 bilion yang dicatatkan dalam tahun sebelumnya.

Ini terutamanya didorong oleh pertumbuhan dalam segmen operasi lapangan terbang hasil daripada pergerakan penumpang yang lebih kukuh dan sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti runcit dan sewanya, kata Faizal.

Beliau berkata yang secara total, segmen operasi lapangan terbang telah berkembang 16.98 peratus kepada RM1.50 bilion, dirangsang oleh peningkatan sebanyak 21.15 peratus dalam pendapatan aeronautikal.

Operasi bukan lapangan terbang menyaksikan keseluruhan penurunan sebanyak 9.82 peratus berikutan pendapatan projek, pertanian dan perhotelan yang rendah, kata Faizal.

Beliau berkata yang pendapatan bukan aeronautikal mengukuh 12.64 peratus kepada RM705.84 juta, dipacu oleh sewa yang tinggi sumbangan daripada ruang komersil tambahan dan meningkatnya perbelanjaan untuk setiap penumpang.

Faizal berkata ruang runcit telah meningkat kira-kira 50 peratus di bawah program berkenaan dan kedai, jenama baharu dan penawaran yang lebih baik telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penumpang.

Beliau berkata perniagaan runcit MAHB sendiri turut mengembang sebanyak 15.32 peratus kepada RM351.61 juta, terutama disebabkan oleh pendapatan runcit, makanan dan minuman yang tinggi hasil daripada jumlah penumpang yang kian meningkat.

Pendapatan daripada ruang sewa, pengiklanan dan komersil-komersil lain naik sebanyak 10.09 peratus kepada RM354.23 juta, disumbang oleh sewa dan royalti yang lebih baik ruang komersil tambahan hasil daripada inisiatif ROP serta pelantikan operator-operator baharu di lapang terbang Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Miri, Terengganu dan Langkawi.

Pengendali lapangan terbang itu menjangkakan aliran penumpang dan pergerakan pesawat di lapangan terbangnya akan terus meningkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2010 ekoran langkah syarikat penerbangan itu menambah kapasiti dan terus memperkenalkan laluan dan perkhidmatan baharu.

MAHB yakin yang pendapatan bukan aeronautikal daripada aktiviti-aktiviti komersilnya akan memberi manfaat yang signifikan memandangkan ia telah menyaksikan sumbangan tahun penuh pertama daripada ROP bermula daripada tahun kewangan berakhir 2010, kata Faizal.

No comments:

Post a Comment