Bagi mengurangkan masalah kemiskinan tegar di negeri ini, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah memulakan proses pengambilan peserta fasa pertama untuk ditempatkan di kawasan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu bagi menjalankan projek peningkatan ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif ECER Terengganu, Zulkifli Mohamad berkata, bagi fasa pertama, seramai 1500 keluarga akan dipilih tetapi buat permulaan, 200 keluarga diberi keutamaan terlebih dahulu bagi melihat keberkesanan program berkenaan.
:“Jika ia berjaya dilaksanakan tanpa masalah, pengambilan seterusnya akan dibuat untuk ditempatkan di ketiga-tiga daerah terpilih.
“Dalam projek pembasmian kemiskinan ini, fokus utama adalah penternakan, pertanian dan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) yang boleh menjana pendapatan keluarga,” katanya.
Menurutnya, dengan pelaksanaan itu diharapkan mampu memberi peluang baru kepada semua keluarga terpilih untuk berubah dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Buat masa ini, penyediaan tapak sudah dimulakan dari segi fizikal dan dengan adanya kemudahan disediakan kelak boleh membantu peserta berdaya saing serta mengeluarkan hasil lumayan.
“Pihak kami bekerjasama dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPENT) dan agensi terbabit dalam sektor pertanian serta penternakan bagi memberi nasihat dan memantau perkembangan,” katanya.
Ini sebab, katanya, program itu pertama kali dilaksanakan di bawah ECER dan pihaknya cuba membantu dari pelbagai aspek bagi mengurangkan masalah dihadapi selepas ini.
Zulkifli berkata, dengan pembukaan penempatan baru itu dilihat merancakkan semula ekonomi penduduk, selain memajukan daerah berkenaan sebagai hab pengeluaran makanan.
No comments:
Post a Comment