Thursday, February 25, 2010

Polis Tahan Enam Lelaki Dalam Ops Lejang Di KT

Polis Terengganu menahan enam lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal dalam Ops Lejang yang dijalankan selama empat hari sejak Jumaat lepas di kawasan Kampung Manir serta Cabang Tiga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Mohd Fauzi Abduri berkata, dua daripada mereka yang ditahan ialah adalah pelajar, dan masing-masing seorang penjual ikan, pembantu kedai makan, buruh binaan dan juga mekanik, kini ditahan untuk siasatan polis.

"Hasil soal siasat ke atas semua suspek yang berumur antara 16 dan 21 tahun itu, polis menemui sebuah motosikal di mana pemiliknya mengaku enjin motosikal tersebut adalah enjin curi", katanya kepada pemberita semalam.

Mohd Fauzi berkata, polis juga menemui dua enjin motosikal yang telah dibuang ke dalam tali air di Kampung Panji Alam di sini yang sebelum ini dilaporkan hilang di Balai Polis Manir dan Balai Polis Chabang Tiga.

Katanya, hasil siasatan, polis turut menemui 12 lagi enjin motosikal yang telah dibuang ke dalam sebuah tali air berhampiran masjid lama Kampung Sungai Rengas, dekat sini.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan polis akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mencuri motosikal di bandar raya ini.

Sementara itu, polis menahan seorang lelaki yang sangat dikehendaki berhubung kejadian samun dan pecah rumah secara berkumpulan yang mensasarkan rumah orang kenamaan di negeri ini.

Katanya, lelaki berumur 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah hari ini ketika sedang minum di sebuah kedai di Kampung Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.

Beliau berkata, polis telah memburu lelaki berkenaan sejak dua minggu lepas setelah dipercayai terbabit dalam beberapa kegiatan samun dan pecah rumah di Terengganu dan Kelantan bersama lima lagi rakannya termasuk dua warga Indonesia yang telah ditahan awal bulan ini.

No comments:

Post a Comment