Nelayan dan penduduk di Kampung Pantai Tok Jembal dekat Kuala Terengganu bimbang berikutan hakisan pantai semakin serius meminta kerajaan negeri mengambil tindakan segera untuk mengatasinya.
Tinjauan Edisi Timur mendapati kesan hakisan begitu ketara apabila jalan sepanjang pesisir pantai dari pangkalan nelayan Dalam Rhu Kuala Badak hingga berhampiran projek pembinaan benteng Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) sepanjang hampir dua kilometer, sudah runtuh ditelan bumi.
Malah, banyak pokok rhu sepanjang jalan itu tumbang dan hakisan dijangka lebih parah menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi kerana ketika itu angin kencang dan ombak besar dijangka berlaku.
Nelayan, Nasir Jusoh, 41, berkata jalan bertar sepanjang Pantai Tok Jembal mulai rosak sejak setahun lalu.
Katanya, hakisan di kawasan pantai semakin teruk dan dianggarkan sekurang-kurangnya 100 meter pantai sudah menjadi laut sejak musim tengkujuh hujung tahun lalu.
“Jalan ini pecah dan hampir putus sejak November tahun lalu kerana dipukul ombak besar musim tengkujuh.
“Nelayan di Tok Jembal sukar mendaratkan ikan kerana tidak ada lagi pangkalan disebabkan hakisan pantai. Masalah itu juga berlaku antara lain dipercayai berpunca projek menambak laut untuk pembinaan LTSM,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Mazlan Ghani, 43, berkata disebabkan jalan di pantai rosak teruk dan tidak boleh dilalui kenderaan, orang ramai tidak lagi mengunjungi kawasan ini untuk membeli ikan segar yang didaratkan oleh nelayan di pangkalan Dalam Rhu Kuala Badak.
“Kini hampir tidak ada lagi orang datang membeli ikan segar yang didaratkan di pangkalan Dalam Rhu Kuala Badak menyebabkan pendapatan kami juga terjejas.
“Saya difahamkan kerajaan negeri sudah mempunyai peruntukan membaiki jalan Pantai Tok Jembal dan perkara ini dalam pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman,” katanya.
Seorang penduduk, Kamal Husin, 48, pula berharap kerajaan akan membaiki segera jalan di pesisir pantai ini sepanjang hampir dua kilometer itu yang sudah lebih dua bulan runtuh.
Katanya, jika terus dibiarkan sudah pasti keadaan semakin parah dengan hakisan pantai semakin kuat yang boleh meruntuhkan lebih luas kawasan tebing.
Sementara itu, Ahmad Razif ketika dihubungi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah meluluskan peruntukan RM6.5 juta untuk mengatasi masalah hakisan di kawasan itu termasuk membina semula jalan Pantai Tok Jembal yang pecah dan hampir putus kesan hakisan ombak.
Sumber: Berita Harian
mane peranan kerajaan negeri dan badan2 yang berkaitan untuk mengatasi masalah yang makin hari makin serius...??
ReplyDelete