Wednesday, February 3, 2010

Jambatan Baru di Sungai Nerus


Penantian lebih 50,000 penduduk dari 14 kampung di mukim Kuala Nerus dekat sini, bakal berakhir apabila sebuah jambatan konkrit siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Datuk Mohd. Said berkata, jambatan itu akan menghubungkan kawasan berkenaan dengan bandar Kuala Terengganu.

Menurut beliau, Jambatan Kampung Jeram itu juga akan menjadi jalan alternatif ke Kota Bharu, Kelantan dengan penjimatan 10 kilometer berbanding jalan biasa ketika ini.

"Kerja-kerja pembinaan jambatan sepanjang 120 meter itu telah dimulakan sejak dua minggu lalu dan ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

"Saya amat berterima kasih kepada penduduk di sini kerana membenarkan kerja-kerja pembinaan dijalankan walaupun proses pengambilan tanah masih belum diselesaikan," katanya ketika ditemui pada majlis solat hajat di tapak pembinaan jambatan di Kampung Jeram di sini semalam.

Pada majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 penduduk kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahin berkata, sebanyak RM229 juta diperuntukkan bagi membina jambatan tersebut di samping pembinaan jalan alternatif sepanjang sembilan kilometer.

Ujarnya, jika sebelum ini penduduk mengambil masa kira-kira 30 minit, dengan adanya jambatan itu nanti, mereka hanya mengambil masa 10 minit sahaja untuk ke bandar Kuala Terengganu apabila ia bakal dihubungkan dengan projek Jambatan Sekati berdekatan Muzium Negeri.

"Jika 20 tahun dulu mereka terpaksa menggunakan bot untuk menyeberang tapi kini kemudahan jambatan dan jalan alternatif yang akan siap bakal memberi keselesaan kepada mereka,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment