Wednesday, February 3, 2010

Kastam Terengganu Patah Cubaan Seludup Rokok Bernilai RM1.1 Juta

Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 14,700 karton rokok kretek dianggarkan bernilai RM1.1 juta termasuk cukai dalam sebuah lori yang ditinggalkan di tepi jalan di Kemaman, awal pagi Selasa.

Pengarah Kastam negeri Datuk Azis Yacub berkata atas maklumat awam sepasukan anggota penguatkuasa telah menemui sebuah lori sarat dengan rokok ditinggal di tepi jalan di KM66, Jalan Jerangau-Jabor, Air Putih, Kemanan, pada pukul 1 pagi.

Katanya lori itu ditinggalkan di tepi jalan, kira-kira satu kilometer daripada tempat polis mengadakan sekatan jalan, dan selepas menunggu tiga jam, pegawai Kastam membawa balik lori itu ke Depo Kastam di Jalan Panji Alam di Kuala Terengganu.

"Jumlah cukai yang cuba dielak ditafsirkan sebanyak RM864,642 dan rampasan ini merupakan yang terbesar buat Kastam negeri pada tahun ini," kata Azis pada sidang akhbar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, mengangkut barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama kepada Kastam dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Terengganu di talian 09-6228477 atau talian bebas tol 1-800-88-8855.

No comments:

Post a Comment