Kastam Diraja Malaysia (KDRM) negeri akan memperhebatkan lagi operasi membanteras kegiatan penyeludupan khususnya rokok di negeri ini, tahun ini.
Pengarahnya, Datuk Aziz Yacub berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada kegiatan penyeludupan barangan itu kerana ia didapati meningkat sejak kebelakangan ini.
Katanya, malah kenaikan cukai rokok yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, menyebabkan permintaan rokok seludup meningkat berbanding sebelum ini.
"Lebih sebahagian anggota penguatkuasaan kita akan memberi tumpuan kepada penyeludupan rokok.
"Kita akan turut melakukan pemantauan di premis-premis perniagaan. Selebihnya tumpuan diberi kepada beras, kain batik, jeruk, cuka dan kicap," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengulas lanjut Aziz berkata, sehingga 10 Februari lalu, pihaknya berjaya membanteras lima kes penyeludupan rokok pada tahun ini.
Katanya, sebanyak 1.9 juta batang rokok seludup bernilai RM270,000 telah dirampas yang kesemuanya melibatkan cukai RM940,000.
"Bagi sepanjang 2009 pula, kami berjaya membanteras 127 kes penyeludupan rokok dengan nilai rampasan RM750,000 dan cukai RM2.7 juta," katanya.
Katanya, antara jenama rokok seludup yang dikesan ialah kretek Surya, kretek Nusantara, Halftime5, Texas 5, League, June, Dunhill, Saat, American Blend, Rich, D&J, Matisse, Oki, Astro dan Modeng.
"Selain itu, Golden Light, London Fliter, Canyon Merah dan Hijau, Djarum Black, Absolute, American Legend, Eazy, Gulden, Era, Minna International, League Virginia, Duo M, Paradox, Adan Tex, Kers dan Fine Sand," jelasnya.
Beliau memberitahu, pihaknya juga mengesan 13 kes penyeludupan kenderaan dengan nilai RM331,000 melibatkan cukai RM517,000 dalam tempoh sama.
"Ia diikuti dengan lapan kes mercun dan bunga api; minuman keras dan arak (tujuh), telefon bimbit (empat), motosikal (satu) melibatkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.1 juta dan cukai berjumlah RM3.2 juta," katanya.
No comments:
Post a Comment