Sejak merdeka, hubungan erat antara kaum yang dijalinkan menerusi konsep muhibah dan perpaduan telah membawa kepada kestabilan politik, sosial dan ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Keunikan hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India serta kaum minoriti lain dengan budaya dan adat resam berbeza turut menjadi satu keunikan dan kebanggaan negara.
Kerana itulah perayaan agama yang disambut saban tahun seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali kini diraikan bersama oleh rakyat di semua peringkat.
Tidak ketinggalan makanan yang sebelum ini sinonim dengan sesuatu kaum kini sudah menjadi makanan kegemaran kaum lain.
Begitu juga bagi masyarakat keturunan Siam dan Cina yang tinggal di beberapa kampung di daerah ini yang sudah sebati dengan adat resam, budaya serta kehidupan bermasyarakat dengan kaum Melayu.
Malah kerjasama dan hubungan baik itu dapat dilihat dengan jelas dalam banyak aspek kehidupan seharian dan bukan lagi satu perkara asing bagi kedua-dua pihak sama ada golongan muda atau tua.
Misalnya kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina serta Pesta Songkran sudah menjadi acara yang disambut bersama oleh mereka dengan saling kunjung-mengunjungi antara satu sama lain.
Apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekali lagi keprihatinan rakyat pelbagai kaum dan agama negara ini ditagih bagi membolehkan negara menempuh masa depan yang lebih mencabar.
Pelbagai program telah dan sedang dilaksanakan di semua peringkat bagi mengajak rakyat merealisasikan hasrat tersebut bermula dari peringkat bawah hingga kepimpinan negara.
Atas semangat 1Malaysia, baru-baru ini sekumpulan masyarakat Cina dan Siam mengadakan kunjungan ke Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) di sini.
Rombongan diketuai oleh Ketua Sami Wat Phuttasinpalukararm, Semerak, Pasir Puteh Kelantan, Tharn Nurn ke asrama yang terletak di Kampung Pondok Paku Jabi itu turut disertai oleh lebih 40 penduduk berketurunan Siam dan Cina.
Mereka merupakan penduduk di beberapa buah kampung yang tinggal di penempatan tradisi masyarakat Siam di daerah Besut iaitu Kampung Batu Balai Renek dan Pak Kiang, Keluang.
Kunjungan pertama kali itu bertujuan menziarahi anak-anak yatim yang tinggal di asrama tersebut sambil menyampaikan sumbangan makanan dan bantuan kewangan kepada pengelola asrama tersebut.
Sebelum ini, asrama anak yatim itu hanya dikunjungi masyarakat Islam serta badan-badan sukarela Islam dan kunjungan kali ini membuka lembaran baru kepada penghuninya.
Perkara itu diakui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali yang juga pengerusi asrama itu yang turut terharu dengan kesudian masyarakat bukan Islam mengunjungi anak yatim di asrama tersebut.
Beliau berkata, keprihatinan masyarakat bukan Islam kepada golongan tidak bernasib baik daripada kalangan anak-anak yatim Islam perlu dicontohi oleh pelbagai pihak di negara ini.
‘‘Tambahan pula rakyat kita terkenal sebagai pemurah dan suka menderma, kerana itu tidak ada sebab golongan yang kurang bernasib baik seperti orang tua, miskin dan cacat disisihkan daripada perhatian,” ujarnya.
Majlis itu turut menyentuh perasaan hadirin apabila kunjungan mesra itu disusuli dengan sumbangan makanan serta bantuan kewangan kepada seramai 127 orang anak yatim itu yang disambut dengan perasaan gembira.
Dua orang anak yatim yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu dan berjaya memperoleh 6A 1B turut menerima hadiah wang tunai daripada ahli rombongan itu.
Kunjungan itu turut meninggalkan kenangan manis kepada anak-anak yatim asrama itu apabila dua buah lagu diabadikan menerusi nyanyian dalam bahasa Siam bertajuk Ibu dan Aku Orang Biasa.
Persembahan oleh sekumpulan belia Siam itu menyentuh perasaan anak-anak yatim yang kemudian turut sama bertepuk tangan walaupun bahasa itu tidak difahami mereka.
Nurn pula dalam ucapannya berkata, semua agama tidak melupakan nasib anak-anak yatim dan apa yang dilakukan merupakan tanggungjawab sebagai seorang manusia.
“Tanpa mengira agama dan bangsa, kita perlu saling bantu membantu supaya kesejahteraan dan keamanan dapat terus dikekalkan dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama,’’ ujarnya.
Bagi Mohamed Awang yang menerima bantuan itu bagi pihak asrama berkenaan, kunjungan itu memberi contoh kepada penghuninya bahawa perbezaan agama dan kaum tidak membataskan usaha untuk menghulurkan bantuan.
Katanya, secara tidak langsung kunjungan itu berjaya merapatkan jurang yang mungkin ada antara kaum Melayu beragama Islam dengan penganut agama lain.
Jelasnya, usaha murni yang dirintis oleh penduduk berketurunan Siam dan Cina itu merupakan tindakan yang patut dipuji serta dicontohi oleh pihak lain.
No comments:
Post a Comment