Tuesday, February 9, 2010

Laksana dua projek jalan bernilai RM40j

Dua projek utama membabitkan pembinaan jalan bernilai RM40 juta akan dilaksanakan tidak lama lagi di daerah Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, dua jalan utama yang telah dikenal pasti itu membabitkan pembinaan jalan dari Kampung Gong Nangka ke Bukit Kor dan dari Kampung Kubu ke Felda Cador, masing-masing bernilai RM20 juta.

Selain itu katanya, jalan utama ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Limbat juga akan dibangunkan dalam masa terdekat.

“Pembinaan jalan ini amat penting bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat, selain sebagai laluan alternatif kepada jalan sedia ada di kawasan terbabit.

“Selain itu, kita harapkan dengan adanya kemudahan jalan raya di kawasan berkenaan, ia secara tidak langsung dapat memajukan kawasan itu dengan adanya sistem jaringan perhubungan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-10 Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Terengganu, Daerah Marang di Dewan SMK Tun Telanai.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Belia Daerah Marang, Zaidi Muda; Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Daerah Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin dan Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Daerah Marang, Baki Setia Mamat.

Sementara itu, Zaitun dalam ucapannya berkata, persatuan akan terus aktif menjayakan program sama ada pada peringkat daerah mahupun peringkat negeri dan kebangsaan.

“Persatuan Pandu Puteri amat terkenal dengan keaktifannya dan bagi peringkat Daerah Marang pula, kami telah merangka serta menyusun pelbagai program kepada ahli bagi memastikan mereka berada di landasan betul untuk menjayakannya.

“Kita juga ingin memastikan ahli Pandu Puteri peringkat sekolah dapat memenuhi markah terbaik dalam pemarkahan kokurikulum sebanyak 10 peratus seperti disyaratkan untuk memasuki universiti tempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment