Friday, February 26, 2010

LKIM bayar RM17 juta elaun nelayan

Kerajaan pusat menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengagihkan bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan sejumlah RM17 juta kepada 5,460 nelayan di seluruh Terengganu sejak Jun 2008 sehingga Januari 2010.

Nelayan terbabit ialah 929 orang dari Besut dengan jumlah elaun RM2.8 juta, 891 orang dari Kuala Terengganu (KT) Selatan (RM2.7 juta), 767 nelayan Dungan (RM2.5 juta), 740 orang Marang (RM2.4 juta), 665 nelayan Kemaman (RM2.01 juta), 517 orang KT Utara (RM1.5 juta) dan 452 nelayan Setiu (RM1.3 juta).

Timbalan Pengarah LKIM negeri, Abd. Hamid Muhamad berkata, kaum nelayan lain yang turut mendapat elaun sara hidup bagi tempoh tersebut ialah 238 orang dari Kemasik (RM684,838), 167 nelayan Paka (RM448,367) dan 94 orang dari Kijal (RM260,694).

Katanya, elaun tersebut yang disalurkan oleh kerajaan sebanyak RM200 setiap bulan bagi seorang nelayan bukanlah untuk membasmikan kemiskinan, sebaliknya sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan nelayan.

''Kita berkata begitu, kerana kebanyakan di kalangan mereka boleh hidup berdikari serta mampu memperoleh pendapatan dari hasil tangkapan ikan di laut yang agak lumayan.

''Tetapi kerajaan tetap mengeluarkan bantuan itu selain insentif lain kepada kaum nelayan dengan syarat mereka perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan seperti mempunyai kad pendaftaran ahli nelayan," katanya.

Abd. Hamid berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Kawasan Marang yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrasuktur dan Kemudahan Awan negeri, Yahya Khatib Mohamad di Dewan Sivik Mercang, semalam
Pada majlis itu, seramai 740 nelayan dari kawasan Marang mendapat bantuan elaun sara hidup sebanyak RM200 setiap seorang yang disampaikan oleh Yahya.

Abd. Hamid memberitahu, sepanjang tahun lalu pihaknya telah membelanjakan RM234,700 bagi bantuan bencana alam kepada 74 nelayan di seluruh negeri.

Menurutnya, bantuan bencana alam itu melibatkan kerosakan peralatan menangkap ikan dan setiap nelayan terbabit memperolehi antara RM1,000 hingga RM5,000 setiap orang.

''Dengan bantuan ini termasuk subsidi Minyak e-Disel, e-Petrol dan e-Pengisytiharan yang diadakan sejak beberapa tahun lalu juga turut membuktikan kerajaan sentiasa bertanggong jawab terhadap nasib mereka," ujarnya.

No comments:

Post a Comment