Program Retreat Media: Kenyir Destinasi Pilihan diadakan selama dua hari berakhir semalam, pastinya meninggalkan kenangan tersendiri bagi 30 wakil media terlibat kerana berpeluang merasai pengalaman bermalam dalam rumah bot serta menyaksikan keindahan semula jadi Tasik Kenyir.
Lebih bermakna, program anjuran Kerajaan Negeri yang diuruskan Unit Komunikasi Negeri Terengganu itu turut membolehkan wakil media menikmati rasa sebenar minuman herba tongkat ali dan kacip fatimah yang terdapat di Taman Herba di Pulau Sah Kecil selain kesejukan air di Air Terjun Saok.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Terengganu, Rosli Zakaria berkata, objektif utama program adalah bagi memberi peluang kepada wakil media untuk meninjau dan membuat liputan mengenai Tasik Kenyir sekali gus mempromosikan lagi keistimewaan yang terdapat di tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu.
Katanya, sebagaimana sedia maklum, Tasik Kenyir adalah salah satu produk pelancongan utama di Terengganu yang memainkan peranan dalam menarik kedatangan pelancong ke negeri ini dan berkemungkinan sebelum ini ada wakil media sendiri belum berkesempatan untuk datang ke sini bagi menikmati keindahan semula jadi serta mengunjungi pelbagai destinasi menarik yang ada.
“Justeru, melalui program Retreat Media kali ini kita memilih Tasik Kenyir sebagai lokasi penganjuran dan melalui pengalaman dilalui wakil media terlibat pastinya mereka lebih menjiwai setiap artikel ditulis khususnya berkaitan Tasik Kenyir ini selain secara tidak langsung membantu memperkenalkan lagi Tasik Kenyir kepada pelancong.
“Program seumpama ini kali kedua diadakan pada tahun ini selepas retreat media ke Top IT Industri di Gong Badak iaitu kilang bagi menghasilkan e-Book yang diagihkan Kerajaan Negeri kepada semua murid Tahun Lima di negeri ini dan program itu juga turut melibatkan penyertaan daripada 30 wakil media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Taman Herba, Pulau Sah Kecil, di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment