Saturday, February 6, 2010

LTdL: Cardoso Ketuai Cabaran Footon-Servetto

Juara acara lebuh raya Portugal tahun lepas, Manuel Cardosa, akan mengetuai pasukan Footon-Sevetto pada perlumbaan Jelajah Le Tour de Langkawi 2010 (LTdL) bermula 1 hingga 7 Mac ini.

Acara LTDL yang berstatus 2.0 Hors itu membabitkan tujuh peringkat perlumbaan iaitu dari Kota-Baharu-Kuala Berang, Kuala Terengganu-Chukai, Pekan-Mersing, Mersing-Parit Sulong, Muar-Port Dickson, Putrajaya-Genting Highlands dan Kuala Kubu Baru-Dataran Merdeka.

Kejohanan itu membabitkan seramai 120 pelumba daripada 20 pasukan termasuk dua pasukan tempatan.
Selain Cardoso, pasukan yang membuat penampilan kedua dalam edisi tahunan itu, turut dibarisi enam pelumba Mathias Bradle dan Markus Eibegger dari Austria, Pedro Merino dan Rafael Valls dari Sepanyol, dan pelumba Australia, Johnnie Walker.

Cardoso, berpengalaman empat tahun sebagai pelumba professional, dijangka bergandingan dengan Valls, pakar pendaki yang memberikan kemenangan pertama kepada pasukan itu tahun ini apabila memenangi peringkat kedua Jelajah Tour de San Luis di Argentina, 19 Jan lalu.

Merino pula dijangka membantu pasukan tersebut dalam pendakian mencabar dari Putrajaya ke Genting Highlands sejauh 102.8 kilometer pada kejohanan kali ini, menurut kenyataan penganjur kejohanan itu di sini Jumaat.

Pasukan itu diuruskan oleh Mario Gianetti.

Dua muka baru dalam pasukan tersebut ialah Bradle, juara ujian masa individu kebangsaan Austria dan Eibegger, juara kebangsaan lebuh raya Austria tahun lalu dan pernah bergelar juara berbasikal bukit negara itu.

Sementara, pelumba tunggal Australia, Walker telah memenangi banyak kejayaan di negara kelahirannya dan pernah menduduki tempat ketiga pada peringkat keenam, ketujuh dan kesembilan dan 26 keseluruhan LTdL 2008 ketika bersama pasukan South Australia-AIS.

Edisi ke-15 LTdL 2010 sejauh 1,019.3 kilometer itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persekutuan Berbasikal Malaysia (MNCF).

No comments:

Post a Comment