Saturday, February 6, 2010

YDP, Ahli Majlis PBT perlu atasi aduan rakyat


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mengarahkan semua Yang Dipertua dan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah di negeri ini bergerak seiring turun padang meninjau masalah setempat.

Menurut Ahmad Said, langkah itu penting kerana kerajaan masih menerima rungutan dan aduan daripada rakyat setempat wujudnya masalah di kawasan tertentu terutamanya dari segi kebersihan.

Beliau berkata, pihaknya berasa kesal kerana kebersihan masih belum mencapai tahap yang dikehendaki meskipun Kerajaan Negeri telah membelanjakan berjuta ringgit setahun bagi tujuan itu.

“Kos kebersihan bagi kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebanyak RM20 juta setahun, tapi saya tidak puas hati kerana masih menerima rungutan daripada rakyat me-ngatakan kawasan MBKT tidak bersih.

“Ini berlaku kerana ada pegawai tidak turun ke bawah, oleh itu saya minta Yang Dipertua dan Ahli Majlis (PBT) sentiasa turun padang sekurang-kurangnya seminggu sekali memantau keadaan,” katanya.

Menurut Ahmad Said, segala masalah rakyat antaranya meliputi aspek kebersihan dan kemudahan asas perlu disedia dan ditingkatkan sejajar dengan usaha kerajaan negeri mengubah wajah pembangunan di Terengganu pada masa depan.

“Kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan fizikal untuk Terengganu termasuk menyusun semula pelan pembangunan di kawasan bandar dengan membina rumah-rumah kedai dan kediaman,” ujarnya.

Beliau juga menarik perhatian dengan cadangan pembinaan bangunan baru MBKT setinggi 18 tingkat berhampiran Pantai Batu Burok di Kuala Terengganu yang dijangka mula dilaksanakan tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan Datuk Bandar MBKT dan Yang DiPertua Majlis Daerah Marang yang diadakan di Bilik Rehat Khas, Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pada majlis itu, Datuk Adzlan Mohd Dagang dilantik menjadi Datuk Bandar MBKT menggantikan Datuk Mat Razali Kassim manakala Yang Dipertua Majlis Daerah Marang pula dipegang Mohd Elias Nik berkuatkuasa 1 Februari lalu.

Mengulas lanjut Ahmad memberitahu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pembangunan terancang mengubah wajah Kuala Terengganu yang masih diwarnai rumah setinggan dan bangunan tidak sepatutnya dengan bantuan empat agensi.

Menurutnya, empat agensi yang akan bertanggungjawab adalah MBKT, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dan Syarikat Air Terengganu (SATU).

Sementara itu, Adzlan ketika ditemui selepas majlis berakhir mengakui turun padang adalah aktiviti yang sentiasa diamalkan ketika memegang jawatan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), tidak lama dahulu.

“Setiap masa saya akan turun padang kerana amalan itu boleh mendekatkan kita kepada rakyat dan me-ngenalpasti masalah dihadapi mereka dan saya akan menunaikan amanah ini sebaik mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment