Pembinaan Laguna Agro Resort di kawasan seluas 15 hektar yang berkonsepkan tanah becah selain mengembalikan nostalgia pusat perladangan yang tersohor suatu ketika dahulu akan dibangunkan secara dua peringkat yang dijangka siap sepenuhnya pada 2012.
Pengarah Urusan Peladang Agrotourism dan Resort Sdn. Bhd., Mohd. Shaifuddin Abas berkata, bagi peringkat pertama pihaknya akan memajukan kawasan seluas 17.5 hektar dengan menyediakan projek ternakan ikan air laut.
Menurutnya, 15 hektar lagi kawasan akan dibangunkan sebuah resort dengan menempatkan 100 bilik serta lain-lain kemudahan yang berkaitan dengan industri perlancongan.
''Kita percaya apabila Laguna Agro Resort itu beroperasi dalam masa dua tahun lagi ia sudah tentu menarik lebih ramai para pengunjung dari dalam dan luar negeri disebabkan lokasi resort agak berlainan berbanding resort di kawasan lain.
''Ini kerana kedudukan resort ini berhampiran dengan sungai dan air laut selain terdapat keindahan alam semulajadi dengan tanaman pokok bakau dan nipah yang ada di situ sejak dari dulu lagi," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Gotong Royong Menanam Pokok Rhu dan Pelancaran Laguna Agro Resort di Kampung Gong Batu, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Setiu, Mohd. Razif Abdul Majid yang mewakili Pegawai Daerah Setiu, Mohd. Akil Mat.
Sempena dengan majlis berkenaan, sebanyak 700 pokok rhu ditanam di sekitar tapak resort secara gotong royong yang turut disertai oleh para pelajar di Sekolah Kebangsaan Gong Batu.
Mohd. Shaifuddin memberitahu, sebelum ini pihaknya telah mempunyai sebuah pusat perlancongan iaitu Peladang Setiu Agro Resort (PSAR) di Guntung dekat sini yang sudah beroperasi kira-kira 17 tahun lalu.
Menurutnya, PSAR itu menempatkan pelbagai aktiviti rekreasi, air, taman herba, jungle walk dan bilik penginapan yang sering menjadi perhatian orang ramai pada hari minggu apabila mereka berkunjung di kawasan itu.
Bagaimanapun, katanya, ia agak berbeza dengan ekoakuaperlancongan yang terdapat di Laguna Agro Resort yang lebih memberi tumpuan terhadap projek ternakan air seperti pemuliharaan ikan air tawar dan masin, ketam dan tuntung.
No comments:
Post a Comment