Monday, February 1, 2010

Penduduk bantah pembinaan velodrom, kemudahan sukan

Upacara pecah tanah pembinaan velodrom lumba basikal dan beberapa kemudahan sukan lain di daerah Dungun yang dijadualkan kelmarin terpaksa ditangguhkan kerana mendapat bantahan penduduk di daerah itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata, beliau sepatutnya menghadiri program pecah tanah di Kampung Sura, Dungun semalam tetapi terpaksa dibatalkan kerana penduduk di kawasan tersebut didakwa akan mengadakan demonstrasi bagi membantah pembinaan kemudahan yang bakal dibina.

“Kita dimaklumkan beratus penduduk di kawasan berkenaan akan mengadakan protes untuk menghalang upacara pecah tanah dan pembinaannya kerana mendakwa mengambil tanah yang dijadikan kawasan riadah golongan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Juara Rakyat UMNO Bahagian Kemaman dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Pendidikan Sekolah-sekolah Daerah Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) kelamrin,

Katanya, penduduk tidak bersetuju pembinaan dilakukan di situ kerana tapak yang dicadangkan itu adalah tapak pasar malam dan penduduk serta peniaga kecil mengadakan aktiviti menjual pelbagai barangan serta makanan setiap minggu.

“Bagaimanapun kerajaan tidak akan terburu-buru dalam soal pembinaan velodrom ini dan berharap selepas ini akan ada satu jalan penyelesaian yang baik serta dapat memenangi hati semua pihak kerana projek tersebut adalah untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Menurut Ahmad Shabery, sepatutnya penduduk di kawasan berkenaan menghargai cadangan pembinaan velodrom itu kerana sekiranya dicadangkan di tempat lain sudah tentu akan disambut baik oleh semua pihak.

Katanya, kerajaan memikirkan Daerah Dungun adalah tempat kelahiran jaguh lumba basikal negara yang amat dikagumi iaitu Mohd Azizulhasni Awang, 22 yang telah banyak menyumbang jasa dan berkorban untuk sukan lumba basikal negara yang juga salah seorang pelumba dunia

“Penduduk daerah tersebut sepatutnya berbangga tetapi mereka telah melihat cadangan pembinaan tersebut sebagai sesuatu yang tidak perlu,” katanya.

Katanya, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah Daerah Dungun dan beberapa pihak lain untuk menilai serta mengkaji semula tapak bagi pembinaan itu dan berharap masyarakat Dungun tidak akan menolak pembinaan tersebut.

No comments:

Post a Comment