Penyalahgunaan dadah melibatkan remaja kini menjadi satu persoalan serius yang harus ditangani bersama.
Remaja sebagai generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pula memainkan peranan yang amat besar dalam menentukan hala tuju serta masa depan negara.
Justeru, hasrat kerajaan untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani dan rohaninya melalui pendekatan awal Falsafah Pendidikan Negara tidak boleh disandarkan kepada satu pihak sahaja.
Sebaliknya, ia harus ditangani bersama dan langkah awal melalui pendidikan adalah pendekatan terbaik dalam menangani krisis yang dilihat semakin kritikal itu.
Statistik Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun mencatatkan, setiap bulan tidak kurang daripada 50 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah, sebahagian daripadanya melibatkan golongan remaja berusia seawal 16 tahun, malah ada antaranya sehingga mencapai usia warga emas.
Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, usaha penguatkuasaan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah terbabit sekiranya langkah pencegahan awal terutama pendidikan awal ibu bapa di rumah gagal dilaksanakan.
Katanya, walaupun kita sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap penagih dan pengedar, namun kemunculan ‘pewaris baru’ masih berterusan.
“Sehubungan itu, mereka yang berhadapan masalah ini mesti memperbaiki kelemahan sistem pendidikan keluarga, ibu bapa juga mesti memberi perhatian lebih serius terhadap tingkah laku anak.
“Jika tidak zuriat yang menjadi amanah tuhan tidak akan memberi sebarang manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malah turut merugikan bangsa, agama dan negara,” kata Dahlan.
No comments:
Post a Comment