Thursday, February 25, 2010

Sasar turun 10 peratus kes jenayah

Berjayakah Polis Terengganu mencapai sasaran 10 peratus sahaja kadar jenayah di Terengganu?

Apakah Polis Terengganu boleh melakukannya kerana kebanyakan jenayah dilakukan belia dan pelajar?

Bagaimana dan siapa terbabit menjayakannya?

Polis Terengganu menyasarkan penurunan 10 peratus kadar jenayah di negeri ini bagi 2010 dan mengurangkan 20 peratus bagi kes jenayah jalanan.

Ini bukan mudah tetapi Polis Terengganu sudah membuktikan ia boleh dilakukan jika ada kerjasama semua pihak.

Polis Terengganu nampaknya begitu yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan sehingga Februari, ia berjaya mengurangkan 26 peratus kes jenayah.

Selain kes kecurian motosikal, beberapa kes seperti ragut dan pecah rumah masih berlaku, namun sehingga kini, sebanyak 67 kes atau 16.8 peratus kes berjaya diselesaikan.

Polis Terengganu sudah menyatakan dengan jelas bahawa ia juga berusaha mengurangkan jenayah membabitkan remaja dan belia.

Bagi merealisasikannya, Polis Terengganu mengadakan majlis permuafakatan membabitkan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat secara langsung menangani jenayah dalam kalangan remaja.

“Sebahagian besar jenayah yang berlaku di negeri ini membabitkan remaja dan belia seperti mencuri, penyalahgunaan dadah, gaduh serta rogol di bawah umur,” kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Ini kerana lebih 60 peratus kejadian jenayah di Terengganu dalam tempoh dua bulan lepas dilakukan oleh golongan belia dan pelajar.

Beliau berkata, angka itu amat membimbangkan dan polis akan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha mencegah golongan tersebut daripada terbabit dengan jenayah selain mengurangkan kadar jenayah di negeri berkenaan..

Mohd Shukri berkata pihaknya telah merangka beberapa pendekatan yang menumpukan kepada program pencegahan jenayah bagi memastikan jumlah mereka yang terlibat dengan kegiatan itu menurun.

Sebab itu katanya, pihaknya melihat pencegahan jenayah amat penting dalam usaha menanganinya, seterusnya dapat mengawal dan menurunkan kadar jenayah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Mesyuarat Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Polis Daerah yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, semalam.

Pada perkembangan lain, Mohd Shukri berkata, pihaknya berusaha meningkatkan jati diri dan kewibawaan polis melalui aspek meningkatkan kebajikan pihak polis.

“Pelbagai program telah dianjurkan bagi menghargai bukan sahaja polis, tetapi anak dan juga keluarga polis seperti sambutan Hari Polis pada 20 Mac ini, selain menghargai pencapaian pendidikan anak polis.

“Kami juga akan meraikan peranan dimainkan isteri polis dalam majlis khas dan pada masa sama, mengadakan hubungan baik dengan pimpinan Terengganu,” katanya.

No comments:

Post a Comment