Friday, February 26, 2010

Terengganu Peruntuk RM30 Juta Untuk Bina Benteng Pemecah Ombak

Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM30 juta bagi membina sebuah benteng pemecah ombak di Mercang, dekat sini dalam usaha mengatasi masalah muara Sungai Merchang yang cetek.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Yahya Khatib Mohamad berkata projek pembinaan benteng itu akan dilaksnakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Beliau berkata ia merupakan langkah jangka panjang, dan menurutnya bagi penyelesaian jangka pendek kerajaan menyediakan peruntukan RM100,000 untuk menyedut pasir di muara Sungai Mercang.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarah melaksanakan kerja-kerja itu mulai Ahad ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup kepada 626 orang nelayan dari kawasan Merchang di Dewan Sivik Mercang, di sini Khamis, yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Abdul Hamid Mohamad.

Katanya setakat ini empat benteng pemecah ombak sudahpun dibina di Terengganu iaitu di Kerteh, Duyong, Besut dan Marang.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Yahya berkata dalam RMK-10 kerajaan merancang untuk membina dua jalan empat lorong bernilai kira-kira RM300 juta sebagai sokongan kepada Lebuh Raya Timur-Barat.

Beliau berkata jalan-jalan itu ialah jalan Marang ke Dungun yang melibatkan kos RM100 juta dan Jalan Marang-Jerangau RM200 juta.

Sementara itu Abdul Hamid berkata kerajaan membelanjakan RM17 juta dari Jun 2008 sehingga Januari 2010 untuk membayar elaun sara hidup kepada 880,800 orang nelayan dalam negara.

No comments:

Post a Comment