Teknologi identiti frekuensi radio (RFID) dan Malaysia Micro Chip (MM Chip) -- teknologi yang dapat membantu mengesan pergerakan orang, haiwan atau barangan dari jarak jauh -- bakal digunakan dalam sistem penyelidikan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman berkata ciri-ciri yang terdapat dalam sistem RFID ini akan dapat membantu UMT dalam menjalankan penyelidikan hidupan laut.
"Jika MM Chip ini diletakkan kepada haiwan seperti penyu ia akan memudahkan pihak UMT untuk melihat pergerakan dan mencegah jika berlaku sebarang penyakit yang membahayakan haiwan tersebut," katanya ketika menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Senstech Sdn Bhd.
RFID adalah sistem yang diterapkan ke dalam produk, binatang, atau orang untuk tujuan pengenalan menggunakan gelombang radio untuk dikesan dari jarak jauh.
Terdahulu, Pengarah Urusan Senstech Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata kerjasama ini dapat menggalak serta membangunkan aplikasi berasaskan RFID menggunakan MM Chip kepada pihak sektor swasta dan sektor awam.
"Sebanyak RM200,000 akan dijana ke dalam UMT agar aplikasi RFID dapat dikaji dan ditingkatkan dalam tempoh dua tahun lagi," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.
Mengenai cip-cip tersebut, beliau berkata, dianggarkan 50 juta unit sudah dikeluarkan sejak 2008.
"Penggunaan yang paling banyak buat masa ini adalah oleh Kementerian Dalam Negeri pada CD tulen," katanya.
Azmi berkata antara aplikasi baru yang sedang dibangunkan ialah dalam sistem pengurusan haji, sijil halal, identifikasi kayu balak, pengurusan haiwan ternakan dan sistem bagasi.
No comments:
Post a Comment