Seorang petani yang menyertai program ladang kontrak yang diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) kini mampu memperoleh pendapatan bersih mencecah RM20,000 sebulan.
Sejak Isa Husain, 63, mengusahakan tanaman tembikai seluas 2.8 hektar melalui program itu enam tahun lepas, ladangnya mampu mengeluarkan hasil antara tujuh hingga lapan tan metrik dalam tempoh tiga bulan.
Tanaman itu diusahakan sejak 20 tahun lepas dengan dibantu isteri dan dua orang anaknya.
Isa ditemui pemberita pada majlis perjanjian jual-beli antara Fama Terengganu dengan peserta ladang kontrak di Lembah Kolam Hijau Saujana, Setiu, semalam bagi membaharui penyertaannya dalam program ladang kontrak yang tamat Disember lepas.
Terdahulu, Pengarah Fama Terengganu Hasan Jusoh berkata program ladang kontrak adalah salah satu projek berimpak tinggi yang diperkenalkan sebagai salah satu mekanisma untuk membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana dalam menjamin pengeluaran hasil pertanian mereka untuk mendapat pulangan yang setimpal.
Beliau berkata program itu dijalankan secara integrasi di bawah konsep MOA Inc. yang melibatkan jabatan dan pelbagai agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pertanian dan Agrobank Berhad.
Mengulas mengenai perjanjian jual-beli, Hasan berkata ia adalah pendekatan baru yang dilaksanakan oleh Fama bagi pembelian hasil komoditi ladang kontrak dan melalui pendekatan tersebut, konsep harga lantai diperkenalkan.
"Ini bermaksud harga belian adalah mengikut harga semasa tetapi tidak akan jatuh dari harga lantai yang telah ditetapkan," katanya.
Perjanjian jual-beli dimeterai bersama petani di beberapa buah kampung antaranya Kampung Pagar Besi, Kampung Telaga Papan, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, Kampung Kubang Lokoh dan Kampung Nyatoh yang membabitkan kira-kira 80 peserta dengan keluasan tanah 106.2 hektar.
Hasan berkata melalui perjanjian itu, sebanyak 1,800 tan metrik buah tembikai akan dibeli oleh Fama dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan anggaran nilai RM1.8 juta.
"Dianggarkan setiap peserta yang terlibat dalam program ini akan memperoleh pendapatan lebih RM23,000 seorang secara purata hasil semusim (sekali tuai) pengeluaran tersebut. Hasil pendapatan setiap peserta dianggarkan RM7,750 sebulan," katanya.
No comments:
Post a Comment