Saturday, February 6, 2010

Terengganu, Uzbekistan tingkat kerjasama


Sumber: Utusan Malaysia

Terengganu akan meningkatkan kerjasama dua hala dengan Uzbekistan dalam usaha membangunkan tiga sektor iaitu pembuatan, pelancongan dan pendidikan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, kedua-dua pihak menawarkan peluang dalam pelbagai bidang dan sektor yang boleh diterokai untuk kepentingan bersama.

Beliau berkata, Uzbekistan merupakan pengeluar tekstil utama khususnya kain kapas dan sutera yang dilihat dapat membantu dalam industri batik di negeri ini.

"Kita boleh mengimport kain kapas dan sutera dari Uzbekistan yang mana kedua-dua bahan mentah itu digunakan untuk membuat batik Terengganu," katanya selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Shukur Sabitova di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Shukur dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Terengganu akan turut melawat beberapa destinasi pelancongan termasuk Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Muzium Negeri dan industri batik Terengganu.

Ahmad berkata, daripada segi pendidikan pula, Terengganu boleh menghantar pelajar ke universiti-universiti Uzbekistan untuk mengikuti kursus perubatan.

"Apabila Jabatan Perkhidmatan Awam mengiktiraf universiti-universiti di negara Islam tersebut, kita akan menghantar pelajar ke sana," ujarnya.

Dalam pada itu, Shukur yang pertama kali ke Malaysia dan Terengganu berkata, beliau amat tertarik dengan pelbagai kegiatan ekonomi di negeri ini terutama pembuatan emas dan tembaga selain perabot.

"Kita akan mengadakan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang bagi membantu meningkatkan tahap ekonomi dan pendidikan Uzbekistan," katanya.

Selain itu, kata beliau, Uzbekistan menawarkan lebih 4,000 destinasi pelancongan termasuk makam tokoh-tokoh terkenal dalam dunia Islam.

"Dalam meningkatkan industri pelancongan, saya akan mencadangkan satu penerbangan terus dari Terengganu ke Tashkent, Uzbekistan.

"Ketika ini, Penerbangan Uzbek mengadakan penerbangan terus yang memakan masa selama tujuh jam ke Kuala Lumpur dari Taskent," jelasnya.

No comments:

Post a Comment