Monday, March 1, 2010
Pilih BN untuk kebajikan
Ahmad Said disambut ribuan penduduk sekitar ketika hadir pada Program Pelancaran Juara Rakyat Bulan Kebajikan peringkat negeri 2010 di Dataran Pekan Seri Langkap, Sungai Tong Setiu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh : AIDA ABD RAHMAN
Segelintir rakyat negeri ini perlu sentiasa diingatkan setiap pembangunan dan kebajikan kerajaan kerana mereka mudah melupakan sumbangan kerajaan sehingga gagal menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya kepada parti Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya umum.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata kerajaan Terengganu yang ditunjangi parti BN dan UMNO telah melakukan pelbagai perancangan pembangunan dan menjaga kebajikan yang akhirnya bertujuan demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan BN juga mengagihkan bantuan tanpa meletakkan prasyarat tertentu dan menilai latar belakang politik khususnya dalam soal bantuan pendidikan dan pembangunan infrastruktur kerana mereka yang layak mendapat bantuan itu akan diberikan keadilan dan hak yang sepatutnya.
“Sepatutnya Yang Berhormat di setiap kawasan tidak perlu berkempen atau mengingatkan semua rakyat mengenai apa yang sudah kerajaan buat untuk mereka.Semua kebajikan dan bantuan kerajaan sudah beri tetapi masih ada lagi rakyat yang tidak memilih kita.
“Apa yang kita mahu, hanyalah mereka keluar mengundi pada setiap lima tahun sekali dan memilih BN, itu sahaja kemahuan kerajaan sebagai membalas segala bantuan dan pembangunan yang kita salurkan,” kata beliau ketika merasmikan Program Pelancaran Program Juara Rakyat Bulan kebajikan peringkat negeri Terengganu 2010, di Dataran Pekan Seri Langkap, Sungai Tong, Setiu, kelmarin. (27 Februari).
Penduduk kurang upaya menerima bantuan daripada kerajaan negeri.
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajian, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Haji Ashaari Idris; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Yahya Khatib Mohamad; Adun Jabi, YB Ramlan Ali dan Adun Permaisuri, YB Halim Jusoh.
Menteri Besar berkata, ada segelintir rakyat yang menyokong parti Pas mendakwa tidak adil apabila dari satu sudut mereka tidak menerima bantuan Dana Khas yang diagihkan oleh kerajaan BN.
“Apa makna adil..adil pada saya adalah dalam soal memberi dan menerima. Kerana setiap apa jua pelaburan yang kita lakukan kita pasti mahu pulangannya.
“Oleh yang demikian, parti perlu mendahulukan segala kebajikan dan bantuan yang sepatutnya kepada pengikutnya,” kata beliau lagi.
Majlis berakhir dengan penyampaian bantuan kebajikan am dan kerusi roda, kunci rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin dan pengagihan buku akaun Tabung Haji kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Chalok, SMK Pelong, SMK Langkap dan SMK Sungai Tong.
Seorang warga emas yang juga penerima bantuan kebajikan bulanan, Fatimah Idris, 72, dari Kampung Sungai Tong berkata bantuan am yang diperolehi sejak lima tahun lalu itu banyak membantunya menguruskan kehidupan bersama dua cucu yang masih bersekolah.
Katanya, kadangkala bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diterima itu membolehkannya membayar hutang yang terpaksa dibuat berikutan kekangan sumber kewangan terutama dalam menguruskan persekolahan cucunya itu.
Manakala seorang lagi penerima bantuan, Bidah Husin, 82, dari Pekan Sungai Tong, berkata bantuan RM200 sebulan dapat meringankan bebanannya yang tinggal bersama keluarga yang besar berikutan kesemua anaknya hanya bekerja kampung dan tidak memiliki pendapatan tinggi.
“Alhamdulilah dapat bantuan macam ini daripada kerajaan.Kalau tiada bantuan ini pasti payah saya yang sudah tua dan uzur hendak makan dan minum,”katanya.
Sementara Rosnani Sulong, 50, dari kampung Panchor Merah pula bersyukur kerana sejak kehilangan upaya dan terpaksa bertongkat untuk bergerak, bantuan bulanan itu dapat membantu meringankan bebanannya dan keluarga.
No comments:
Post a Comment