Wednesday, March 31, 2010

Ahmad Said hadiri mesyuarat ECERDC

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pagi ini menghadiri mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Menara Parlimen, Kuala Lumpur.

Semalam beliau menerima kertas taklimat mengenai mesyuarat itu.

Pada sebelah petang, Ahmad Said akan mempengerusikan pula Mesyuarat Exco yang juga diadakan di Kuala Lumpur.

Mesyuarat pagi ini dijangka akan menyentuh hala tuju pembangunan ECER selain mengenal pasti beberapa projek baru untuk memajukan rakyat dalam wilayah berkenaan.

Antara perkara baru mungkin disentuh ialah mengadakan perkhidmatan rel ke Pantai Timur yang akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Ini kerana secara umum sehingga ini ECERDC mengenal pasti laluan landasan kereta api dari Lembah Klang ke Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu, Besut iaitu hampir semua bandar besar di Terengganu dan seterusnya ke Pasir Putih, Kota Baharu hingga ke Tumpat.

Apapun, pertimbangan seterusnya adalah tertakluk kepada rumusan dan syor kajian berkenaan kelak.

Selain itu ECERDC juga dijangka membincangkan usaha untuk memperoleh pelaburan termasuk sebanyak sebanyak RM30 bilion dari kalangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 2010. Antara peluang pelaburan yang ditawarkan adalah bagi sektor pertanian, pemprosesan makanan, pelancongan dan pendidikan.

ECERDC berusaha membina rangkaian pelaburan dengan GCC yang membabitkan enam buah negara Teluk iaitu Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu memandangkan ECER menawarkan banyak peluang pelaburan.

Oleh kerana mesyuarat ini adalah kali pertama tahun ini, dijangkakan perbincangan akan tertumpu bagaimana ECER boleh mengambil faedah daripada pemulihan ekonomi global untuk menarik pelaburan dalam dan luar negara.

Yang nyata, beberapa projek berimpak tinggi yang dilaksanakannya sejak dua tahun lalu di wilayah itu mula menampakkan hasil.

Sebelum ini Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John, berkata tahun 2010 dijangka menjadi tahun yang bermakna kepada bukan hanya kerana banyak projek yang dirancangkan terlaksana tetapi juga pendekatan khusus Majlis untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta di ECER.

Sehingga 31 Disember 2009, sejumlah 64 daripada 82 projek ECER yang di peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) telah dimulakan dan baki 18 projek lagi bakal dimulakan pada 2010.

Sehingga kini,. ECER berjaya menarik RM26 bilion pelaburan daripada pelabur dalam dan luar negara.

Apa yang diharapkan perancangan untuk memajukan ekonomi wilayah ini, khsusunya Terengganu akan mendatangkan kemakmuran kepada rakyat negeri ini.

Ini penting bukan sahaja untuk membuktikan majlis melaksanakan tugas dengan baik tetapi merealisasikan cita-cita pembangunan wilayah yang diilhamkan oleh Tun Abdullah Badawi kini disambung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

No comments:

Post a Comment