Wednesday, March 31, 2010

Yayasan Terengganu Belanja RM1.4 Bilion Untuk Pendidikan



Yayasan Terengganu (YT) telah membelanjakan peruntukan RM1.4 bilion bagi membiayai pendidikan anak negeri itu sejak ia ditubuhkan pada 1972.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata daripada jumlah itu sebanyak RM372 juta adalah pemberian pinjaman dan biasiswa bagi pelajar melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

"Tahun ini sahaja, YT menyediakan peruntukan RM108 juta untuk kemudahan pinjaman, penajaan dan biasiswa kepada pelajar Terengganu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 20-10-5-2 Terengganu Anjung Ilmu di Kuala Terengganu semalam.

Program 20-10-5-2 adalah sasaran mencapai peratusan pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun ini.

Ahmad berkata sejak tiga tahun lepas, pelajar Terengganu yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan di pusat pengajian tinggi tidak perlu membayar balik pinjaman kerana ia dijadikan biasiswa.

Sementara itu, katanya, kerajaan sedang mengenal pasti tanah seluas 4,000 hektar di daerah Setiu untuk dibangunkan oleh YT sebagai ladang kelapa sawit bagi menjana punca pendapatan bagi yayasan itu pada masa depan.

Katanya kini YT bergantung kepada peruntukan kerajaan negeri daripada hasil minyak sebagai sumber menyalurkan pinjaman dan biasiswa kepada pelajar.

"Kita tidak mahu bergantung kepada sumber minyak selamanya kerana mungkin ia akan kehabisan. Jadi kita buka ladang kelapa sawit sebagai alternatif punca pendapatan YT masa depan," katanya.


No comments:

Post a Comment