Thursday, March 4, 2010
Anuar: Terengganu Mampu Tubuh Pasukan Bersaing Di LTdL
Penubuhan pasukan Terengganu, yang digalas sepenuhnya pelumba berbasikal anak kelahiran negeri itu, untuk beraksi pada perlumbaan berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah tidak mustahil kerana negeri itu banyak melahirkan pelumba berbakat kata pelumba sensasi Malaysia, Anuar Manan.
Anak kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu yang mewakili pasukan Geumsan Ginseng Asia itu menyifatkan cadangan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said untuk menubuhkan sebuah pasukan dari negeri itu bagi bersaing di LTdL tahun depan adalah bertepatan.
Pada LTdL tahun ini sahaja, lima daripada enam pelumba kebangsaan berasal dari Terengganu manakala tiga lagi mewakili pasukan luar negara, katanya kepada pemberita selepas tamat peringkat ketiga perlumbaan LTdL, semalam.
Lima pelumba kebangsaan kelahiran Terengganu ialah Amir Mustafa Rusli, Shahrul Mat Amin, Ahmad Fallanie Ali, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Nur Rizuan Zainal manakala seorang lagi Mohd Akmal Amrun berasal dari Kuala Lumpur.
Selain Anuar yang mewakili pasukan dari Korea Selatan (Geumsan Ginseng Asia), pelumba kelahiran Terengganu yang beraksi dengan pasukan luar negara adalah Ahmad Haidar Anuawar (Trek Marco Polo dari Taiwan) dan Adiq Husainie Othman (Drapac Porsche Cycling dari Australia).
Anuar berkata beliau tidak keberatan untuk mewakili pasukan Terengganu tetapi penyertaannya akan bergantung kepada kemampuan pasukan itu untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Anuar hari ini menceriakan peminat tempatan dengan kejayaannya mengekalkan jersi hijau (raja pecut) dan biru selaku pelumba terbaik Asia untuk tiga peringkat berturut-turut pada LTdL tahun ini.
Cadangan penubuhan pasukan itu disuarakan oleh Ahmad ketika mengadakan perjumpaan dengan pelumba kelahiran Terengganu ketika permulaan peringkat kedua LTdL di Dataran Syahbandar di Kuala Terengganu kelmarin.
Menurut Teganukita kelmarin, kerajaan Terengganu bercadang untuk mewujudkan satu pasukan sukan lumba basikal negeri bagi menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun depan.
Menteri Besar berkata bakat dan kebolehan yang ditunjukkan oleh pelumba tempatan begitu menyerlah dan mereka perlu diberi peluang untuk berada dalam satu pasukan yang mewakili negeri kelahiran mereka.
“Seperti perlumbaan tahun ini, lapan pelumba yang menyertai pasukan-pasukan profesional adalah anak Terengganu sendiri. Malah lima daripada enam pelumba dalam pasukan Malaysia adalah anak Terengganu,” katanya.
“Saya bangga dengan pencapaian dan kemampuan yang ditunjukkan anak Terengganu, terutama Anuar Manan yang berjaya meraih gelaran berganda dalam perlumbaan dari Kota Baru ke Kuala Berang semalam,” katanya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Dato’ Mohid Mohamed berkata, pelumba-pelumba Terengganu begitu hebat dan mampu memberi saingan kepada pelumba dari luar Negara dan ianya dapat dilihat kejayaan mereka semalam yang sentiasa berada dalam kelompok 10 pasukan teratas dalam perlumbaan semalam,” katanya.
Presiden Persatuan Lumba Basikal Malaysia, Haji Abu Samah Wahab, melahirkan rasa gembira dengan hasrat kerajaan negeri ini untuk menubuhkan pasukannya sendiri dan berharap ianya ditangani secara bersungguh-sungguh.
“Saya harap hasrat ini menjadi kenyataan dan Terengganu perlulah mencari jurulatih professional bagi membimbing pasukannya nanti kerana telah pun dibarisi pelumba hebat,” katanya.
No comments:
Post a Comment