Monday, March 15, 2010

Idris minta Jerteh Souq diteruskan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, projek terbengkalai – Jerteh Souq - sepatutnya disiapkan tahun ini dan menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak.

Katanya, ini terutama di kalangan peniaga serta penduduk setempat yang menyebabkan mereka terpaksa berniaga dalam keadaan tidak selesa.

"Sehingga kini status sebenar projek itu tidak banyak diketahui dan MDB selaku pihak yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan mengenai apa yang sebenarnya berlaku," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat di Pantai Peranginan Air Tawar kelmarin.

Program anjuran UMNO Bahagian Besut itu turut dihadiri ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad; ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof; ADUN Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar dan Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin.

Katanya, golongan peniaga kecil kecewa apabila hampir tiga tahun mereka berpindah untuk memberi laluan kepada pembinaan projek berkenaan, namun projek tersebut sehingga kini masih gagal disiapkan.

"Kalau mengikut perancangan fasa pertama, peniaga kecil ini sepatutnya sudah boleh menjalankan perniagaan di Jerteh Souq dalam keadaan lebih selesa di pasar yang serba moden," jelasnya.

Berikutan itu, Idris meminta Majlis Daerah Besut (MDB) mengambil langkah segera bagi memastikan pembinaan projek Jerteh Souq berharga RM70 juta di Bandar Jerteh diteruskan demi keperluan peniaga dan orang ramai.

Sebelum ini, para peniaga di pasar Jerteh menghadapi pelbagai masalah seperti bumbung bocor, bau busuk dan ruang niaga yang sempit hingga menyebabkan pengguna beralih ke tempat lain.

Pembangunan Jerteh Souq meliputi pembinaan infrastruktur secara bersepadu yang membabitkan kawasan sepanjang 700 meter melalui pesisir Sungai Jerteh sehingga ke Masjid Hadhari di bandar berkenaan.

No comments:

Post a Comment