Tuesday, March 16, 2010

Jalan empat lorong dari Gemia ke Bukit Besar


Dato' Ahmad juga sempat meninjau kerja-kerja pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Jeram, Manir ke Kampung Jeram Tokong. – Gambar Zulkifli Putra

Beberapa batang jalan utama di pusat bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan dinaik taraf dengan melebarkannya dalam usaha menyelesaikan masalah trafik di bandar raya itu mulai pertengahan tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata, antara jalan yang akan diberi keutamaan ialah melebarkan Jalan Gemia hingga ke Bukit Besar sejauh kira-kira lima kilometer kepada empat lorong.

Beberapa longkang utama yang perlu dinaik taraf seperti longkang di Jalan Gemia itu dan di bawahnya akan dijadikan longkang bagi mengalirkan air.

Dengan melebarkan beberapa longkang di sekitarnya, ia akan dapat mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan terutama pada musim tengkujuh, katanya kepada pemberita ketika melawat sekitar MBKT di Kuala Terengganu semalam yang disertai Datuk Bandar MBKT Datuk Azlan Mohd Dagang.

Ahmad berkata, projek berkenaan akan dimulakan pertengahan tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dengan peruntukan kira-kira RM60 juta.

Beliau berkata, kerja-kerja naik taraf jalan dan longkang secara bersepadu itu melibatkan beberapa jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah serta MBKT sendiri.

Selain itu, katanya, kerajaan akan membina satu longkang utama selebar 120 kaki dan 10 kaki dalam di kawasan Tok Jiring di Kuala Nerus bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

"Kita akan bina satu 'sungai baru' di situ bagi mengatasi banjir. Kita jadikan sungai berkenaan kawasan tadahan untuk mengalirkan air ke Sungai Nerus," katanya.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan bagi projek longkang di Kampung Tok Jiring itu masih belum diperoleh kerana kajian mengenainya sedang dilakukan.

Ahmad juga sempat melawat jalan baru yang menghubungkan Kampung Jeram dengan Jeram Tok Kong dengan sebuah jambatan yang sedang dalam pembinaan sekarang.

Jalan baru berkenaan sepanjang tujuh kilometer yang menghubungkan Banggol Tuan Muda melalui Kampung Jeram dan Bukit Guntung itu melibatkan peruntukan kira-kira RM225 juta.

No comments:

Post a Comment