Jabatan Perhutanan Terengganu sedang menjalankan kajian tentang potensi pokok karas untuk dijadikan ubat darah tinggi dan kencing manis.
Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Razani Ujang berkata jabatan itu telah pun menjalankan ujian secara testimonial sejak dua tahun lepas dan setakat ini ia menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan gula dalam darah selain mengawal tekanan darah.
"Sebelum ini mungkin orang ramai mengetahui pokok karas hanya boleh dijadikan kayu gaharu yang minyaknya digunakan sebagai antara ramuan untuk menghasilkan minyak wangi.
"Namun inisiatif yang dijalankan oleh Pejabat Hutan Terengganu mendapati daun karas yang diproses menjadi teh bersama beberapa herba juga berpotensi untuk dijadikan sebagai ubat darah tinggi dan kencing manis," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Ladang Karas di Hutan Simpan Merchang, di sini Isnin yang turut disertai oleh Pengarah Jabatan Hutan Negeri Nor Akhiruddin Mahmud.
Razani berkata teh tersebut telah pun dipasarkan secara kecil-kecilan oleh Jabatan Perhutanan negeri tahun lepas dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana keberkesanannya.
Bagaimanapun, katanya ujian secara klinikal masih lagi dijalankan untuk mengesahkan perkara tersebut.
Selain itu, katanya rekod menunjukkan selain dijadikan minyak wangi, gaharu turut boleh dijadikan sebagai ubat selepas bersalin, anti biotik, anti kanser, penyakit kewanitaan, demam, sakit perut dan sakit badan.
Mengulas mengenai projek penanaman karas, Razani berkata ia berpotensi dalam memberi impak kepada peningkatan ekonomi penduduk luar bandar selain mampu menjadi sumber baru ekonomi baru negara.
"Satu ekar (0.45 hektar) ladang karas mampu memberi pulangan sebanyak RM130,000 dalam masa setahun dan ia boleh menjana pendapatan negara dan penduduk kerana kayu gaharu itu sendiri mendapat permintaan tinggi dari Timur Tengah," katanya.
Sementara itu, Nor Akhiruddin berkata Jabatan Perhutanan Terengganu membekalkan 20 batang pokok karas bagi setiap penduduk yang berminat untuk ditanam di sekeliling rumah selain memberi tunjuk ajar tentang cara penanaman dan penjagaan.
"Apabila cukup usia tuainya, ia mampu membantu meningkatkan pendapatan ekonomi penduduk yang terlibat dan setakat ini seramai 198 orang telah pun berdaftar dengan jabatan untuk menyertai program itu," katanya.
No comments:
Post a Comment