Wednesday, March 17, 2010

Jangan lekakan rakyat Terengganu dengan isu politik



Apa sebabnya yang Sinar Harian beria-ia sangat mahu memainkan isu kehadiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kamapung (JKKK) pada pertemuan dengan Menteri Besar kelmarin.

Memang benar Menteri Besar, Datuk Ahmad Said membidas tindakan sesetengah Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah Kuala Terengganu yang didapati gagal memberi komitmen untuk hadir pada majlis perjumpaan khas bersama beliau di Stadium Negeri.

Namun ia hanya peringatan bukannya sampai patut dijadikan isu.

Bukan sekadar JKKK, Unit Komunikasi Negeri (UKOM) pun kena ‘sound’ pada majlis itu dengan lebih 2,000 tetamu kerana tidak menyediakan audio-visual bagi melengkapkan majlis berkenaan.

UKOM sebagai agensi penerangan dan komunikasi negeri seharusnya peka bahawa majlis seperti ini sepatutnya dibantu dengan visual atau tayangan video untuk memudahkan pemimpin kampung memahami visi Menteri Besar!

Mana-mana yang Menteri Besar rasa mahu tegur beliau tegur tetapi tidaklah wajar sampai digunakan untuk menggambarkan seolah-olah ada yang tidak kena antara JKKK Kuala Terengganu dengan Menteri Besar.

Laporan Sinar Harian mengatakan majlis tersebut hanya dihadiri 60 peratus daripada 4,000 ahli JKKK yang terdapat di seluruh daerah Kuala Terengganu.

Sebenarnya kurang daripada itu kerana yang turut hadir ialah tetamu serta kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) kerana bosnya, Haji Shamsuddin Sulong turut berada di majlis itu dan mereka adalah penganjur bersama.

Kehadiran yang kurang memuaskan itu mungkin diakibatkan oleh perhimpunan adalah hari bekerja, notis terlalu singkat dan jemputan yang tidak menyeluruh.

Mungkin dalam konteks ini Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail lebih mengetahui sebab-sebabnya.

Betul jika Ahmad Said, melihat kepada situasi berkenaan beliau percaya banyak perkara di peringkat akar umbi di daerah itu perlu diperbetulkan selepas ini.

Selain itu beliau tidak tahu apa masalah sebenar yang berlaku sehingga ahli JKKK di daerah ini begitu sukar untuk memberi kerjasama, berbeza dengan keadaan di daerah Kemaman, khususnya.

“Mungkin juga masalah ini berpunca daripada kepincangan kepimpinan di peringkat UMNO bahagian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan itu.

Wan Nawawi mengakui apa yang diperkatakan oleh Menteri Besar itu cabaran buat Pejabat Daerah Kuala Terengganu.

Itu andaian. Namun jika Sinar Harian mahu menjadikan soal andaian sebagai tajuk utama, rasanya cara pemberitaan sedemikian amat lemah.

Hakikatnya banyak perkara yang boleh dijadikan bahan berita pada ucapan Ahmad Said lebih satu jam itu.

Kenapa Sinar Harian tidak melaporkan hala tuju atau pendekatan Terengganu yang dinyatakan dengan jelas oleh Ahmad Said?

Kenapa tidak menghuraikan sedikit pendekatan utama negeri membabitkan penekanan kepada pendidikan melalui formula 201052 dan galakan kerajaan seperti biasiswa, e-book dan lain-lain?

Kenapa tidak laporkan apa pendekatan kerajaan terhadap penyelesaian masalah perumahan?

Juga perkara ketiga ditekankan oleh Menteri Besar ialah pelancongan untuk menjadikan Terengganu destinasi pelancongan terkemuka dunia selain soal pertanian yang memberikan pendapatan segera dan penyelesaian masalah kemiskinan di negeri ini?


Ahmad Said turut menerangkan bagaimana Terengganu kini menjadi negeri kebajikan dengan memperuntukkan RM10 juta membantu mereka yang sakit kronik dan memerlukan pembedahan.

Banyak lagi perkara yang diterangkan oleh Menteri Besar boleh dijadikan bahan berita yang menarik.

Namun jika Sinar Harian melihat kritikan dan andaian Menteri Besar sebagai isu utama terpulanglah.

Jika melaporkan mengenai arah tuju kerajaan negeri, ia mungkin tidak menarik untuk jualan.
Lagipun tiada siapa boleh menahan Sinar Harian memainkan isu sedemikian kerana ia isu yang boleh jadi panas untuk gosip politik.

Cuma janganlah rakyat Terengganu diheret untuk terus memperkatakan isu-isu politik dan melupa serta meninggalkan soal lebih penting iaitu pembangunan keluarga, peluang-peluang pertanian, perniagaan dan paling penting peluang pendidikan untuk mereka.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Toh Chin Yaw dan ADUN Tepoh, Muhammad Ramli Nuh.

No comments:

Post a Comment