Wednesday, March 17, 2010

Swasta diminta bantu pasarkan tanaman

Terengganu memerlukan bantuan pihak swasta dalam memasarkan produk-produk tanaman yang dihasilkan oleh petani di negeri ini.

Sehubungan itu, Penyelaras Pelaburan Kerajaan Negeri, Datuk Tok Teng Sai berkata, pihak swasta perlu membantu dalam mencari pasaran baru atau mencari tanaman yang sesuai diusahakan oleh petani mengikut kehendak pasaran.

Menurut beliau, pemasaran merupakan masalah utama yang dihadapi oleh para petani dalam industri tanaman di negeri ini.

''Kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai kemudahan termasuk infrastruktur dalam membantu para petani bercucuk tanam namun masalah pemasaran hasil menyebabkan lambakan dan harga murah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima rombongan Dewan Perniagaan Cina Malaysia di Setiu semalam.

Lawatan yang berakhir hari ini itu menyaksikan 18 ahli perniagaan melawat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu; Taman Kawasan Pertanian Malaysia (TKPM) Rhu Tapai di Setiu dan industri batik di Kuala Terengganu.

Teng Sai memberitahu, Terengganu tidak mempunyai masalah dalam menyediakan tanah untuk dimajukan sebagai kawasan penanaman yang bersesuaian.

''Para petani di negeri ini juga rajin dalam melakukan kerja-kerja penanaman dan penuaian namun akibat hasil tanaman yang dijual dengan harga rendah menyebabkan mereka hilang semangat," katanya.

Beliau berkata, ketika ini, banyak tanaman seperti patiya atau buah naga dan markisa ditanam di Rhu Tapai.

''Kebanyakan tanah di negeri ini merupakan dari jenis bris yang amat sesuai dengan penanaman tersebut," jelasnya.

No comments:

Post a Comment