Wednesday, March 31, 2010

Jangan salah guna bantuan zakat

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sudah memberi amaran kepada penerima zakat yang menyalahgunakan bantuan untuk kepentingan diri sendiri.

Jika mereka melakukan demikian ia akan ditarik balik serta-merta sekiranya dapat dikesan pihak pengurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata kelmarin, walaupun kes itu tidak serius dan jarang berlaku namun ia tidak boleh dibiarkan kerana dikhuatiri menyebabkan salah faham, selain tiada keberkatan dalam penerimaan wang berkenaan.

“Setakat ini, kes yang telah dikesan adalah pada tahun lalu dan pihak kami telah memberi nasihat serta pandangan agar kes berkenaan tidak lagi berulang kepada penerima baru selepas ini.

“Maidam juga mengambil keputusan membuat lawatan ke rumah penerima zakat bagi melihat sendiri keberkesanan dan perubahan hidup yang dilakukan selepas mendapat bantuan, sama ada dari segi kewangan ataupun peralatan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan Maidam di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Wan Harujan berkata, bagi pengagihan zakat kali ini, seramai 116 penerima layak menerima bantuan sara hidup, persekolahan dan modal berdikari dengan membabitkan kos berjumlah RM98,790.

“Dalam pemberian zakat kali ini, kami mengagihkan bantuan tunai, peralatan seperti mesin jahit, mesin air tebu dan kemudahan di surau sekolah bagi aktiviti keagamaan untuk sekolah yang terbabit.

“Insya-Allah selepas ini, pelajar cemerlang dan ditawarkan tempat ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan turut menerima bantuan kewangan bagi meringankan beban ahli keluarga,” katanya.

Kelmarin Maidam menyerahkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk wang sara hidup, persekolahan dan peralatan berjumlah RM98,790 kepada 116 penerima.
Beliau memberitahu, setakat ini pihaknya berjaya mengutip kira-kira RM9 juta pelbagai jenis zakat pada tahun ini.
''Kita menyasarkan kutipan zakat pada tahun ini hanyalah RM60 juta ekoran kutipan adalah berdasarkan pendapatan pada tahun lepas.

No comments:

Post a Comment