Tuesday, March 30, 2010

Sidang DUN Terengganu pada 5, 6, 7 & 8 April hangat?

Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Terengganu (Sidang DUN) akan diadakan selama empat hari pada 5hb, 6hb, 7hb dan 8hb April depan.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) PAS akan mengemukakan sekurang-kurangnya 20 soalan bertulis dan 50 soalan lisan pada sidang DUN kali ini.

Selain itu, katanya, PAS juga dijangka akan mengemukakan beberapa usul penting berkaitan kepntingan rakyat yang pelu dibincangkan segera oleh sidang DUN akan datang

Mungkin kita (PAS) akan kemukakan beberapa usul penting, untuk dibahaskan dalam sidang DUN kali ini.

PAS mengadakan Mesyuarat Pra-Persidangan DUN pada Rabu, 7 Mac lalu.

Apakah Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Barisan Nasional (BN) sudah bersedia menghadapi soalan dan usul ADUN PAS kali ini?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata: ”Sekurang-kurangnya, setiap wakil rakyat kita (PAS) akan bawa 6 soalan lisan dan 3 tiga soalan bertulis, merangkumi semua daerah dan kawasan DUN, tidak terbatas kepada DUN-DUN yang diwakili sahaja.”

Apa isunya?

Dijangkakan antara isu penting ialah royalti yang ketika ini Kerajaan Pusat masih menganggapnya sebagai wang ehsan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dijangka akan dihujani soalan ini kerana difahamkan kerajaan pusat masih berhutang dengan kerajaan negeri sebanyak RM1.7 bilion.

Malah, difahamkan, untuk 2009 dan 2010, kerajaan pusat baru membayar sebahagian kecil sahaja wang berkenaan.

Selain itu, isu lawatan Menteri Besar ke Jerman baru-baru ini juga dijangka akan menarik perhatian ADUN PAS.

Isu perpindahan penduduk di kawasan pantai sekitar Kuala Terengganu dan penempatan baru juga akan ditanya.

PAS juga dijangka akan mengemukakan persoalan berkaitan hakisan pantai dan kerja-kerja menambaknya.

Isu lain ialah kemungkinan mewujudkan kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir serta pusat-pusat perniagaan baru seperti kawasan perniagaan kain di Kemaman.

Perumahan rakyat yang turut ditekankan oleh pentadbiran Ahmad Said juga akan menjadi perkara utama.

Isu-isu pertanian umpamanya kesukaran menjual hasil tanaman seperti juga dijangka akan menjadi tumpuan utama pembangkang.

Apa yang menarik, selain yang dibangkitkan oleh PAS, beberapa soalan ‘pedas’ juga dijangka akan dikemukakan wakil BN.

Dijangkakan isu pertukaran kakitangan perkhidmatan awan negeri akan turut menjadi isu panas kali ini.

Difahamkan pertemuan Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Terengganu yang diadakan di Hotel Felda kelmarin (28 Mac) membincangkan beberapa perkara menarik.

Namun menurut sumber, ketika diadakan precouncil BN di kediaman Menteri Besar sehari selepas itu (malam semalam), seramai tujuh ADUN tidak hadir termasuklah Datuk Seri Idris Jusoh( Jerteh), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil).

Nawi Mohamad (Hulu Besut) tidak hadir kerana masalah kemalangan ahli keluarganya. Sementara Muhamad Pehemi Yusof (Kota Putera) pula tidak diketahui sebab-sebabnya.

Sidang DUN bermula Isnin ini akan dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja, Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Persoalan menarik juga ialah bagaimana Yang DiPertua DUN Datuk Tengku Putera Wan Awang ‘mengawal’ persidangan kali ini?

Sebelum ini beliau dilihat mampu mengawal ADUN dengan baik dan semua urusan mesyuarat dijalankan dengan teratur dan tersusun.

No comments:

Post a Comment