Sunday, March 21, 2010

'JobsMalaysia' juga ada di Kuala Terengganu

Sekurang-kurangnya 12 pusat pekerjaan atau "JobsMalaysia Centre" (JMC) akan dibuka di seluruh negara bagi membantu pencari kerja di kalangan masyarakat tempatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan serentak semua JMC di seluruh negara dari JMC Cyberjaya pada Khamis.

JMC lain adalah di Pelabuhan Klang dan Kelana Jaya di Selangor; Johor Bahru (Iskandar Malaysia) dan Segamat di Johor; Sungai Petani di Kedah; Kota Bharu, Kelantan; Ipoh, Perak; Georgetown, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah; dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata, "Selain menyediakan perkhidmatan dan kemudahan penjodohan kerja secara dalam talian, JMC juga akan mengendalikan proses temuduga serta mewujudkan hubungan dengan majikan bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan."

Katanya dalam satu kenyataan, pusat itu juga akan menyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling kerjaya, bekerjasama dengan IPT, sekolah, jabatan kerajaan dan pihak swasta untuk menjalankan aktiviti pendaftaran, penempatan dan promosi pekerjaan selain melaksanakan program penempatan pekerjaan, katanya.

Dr Subramaniam berkata matlamat penubuhan JMC termasuk mempromosikannya sebagai sebuah pusat yang menyediakan kemudahan percuma kepada rakyat untuk mendapatkan pekerjaan.

"Kita juga ingin memberi pendedahan kepada pencari kerja mengenai peluang-peluang pekerjaan yang sedia ada," katanya.

Beliau menjangkakan kalangan pencari kerja yang akan menyertai JMC ialah seperti siswazah menganggur, pekerja yang diberhentikan, orang kurang upaya, ibu-ibu tunggal, pesara, pelajar IPT dan para majikan.

Katanya, pelancaran JMC di Cyberjaya akan melibatkan pendaftaran pencari kerja dan majikan secara dalam talian; program penempatan pekerjaan melibatkan 180 majikan pelbagai sektor dan 10,000 kekosongan pelbagai kategori jawatan bagi siswazah dan bukan siswazah.

"Aktiviti lain termasuk ceramah kerjaya oleh Angkasawan Negara, temuduga terbuka, taklimat penyediaan butir-butir peribadi, panduan menghadiri temuduga, pameran oleh jabatan dan agensi di bawah kementerian dan program khas iaitu rakaman program televisyen Jejak Kerjaya oleh RTM di tapak perasmian di Cyberjaya," kata beliau.

No comments:

Post a Comment