Friday, March 12, 2010

KD Terengganu Tingkat Keupayaan TLDM Di Pantai Timur



Keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Khamis diperkuatkan lagi dengan perkhidmatan kapal KD Terengganu yang akan berpangkalan di Markas Wilayah Timur 1, Tanjung Gelang, dekat Kuantan.


Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Datuk Mohd Som Ibrahim berkata, dengan perolehan aset baru dalam inventori TLDM itu, ia dapat meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan itu dalam mempertahankan perairan negara khususnya di kawasan pantai timur.

"Kita bukan sahaja boleh mengatur gerak menidakkan musuh daripada mendarat di perairan, malah mampu mencegah penyeludupan masuk elemen-elemen negatif ke dalam negara," katanya pada majlis penerimaan KD Terengganu di Kuantan semalam.

Katanya, kapal itu boleh dinaik taraf dengan sistem peluru berpandu dengan hanya sedikit pengubahsuaian.

Kapal Ronda Generasi Baru (NGPV) itu dilengkapi peralatan canggih dan moden serta berupaya melaksanakan pelbagai operasi dengan menggunakan helikopter sekaligus meningkatkan jarak jangkauannya.

KD Terengganu yang diambil sempena nama kapal peronda TLDM yang telah dilucutkan tauliah pada 1994 itu dikemudi Pegawai Memerintah, Komander Ahmad Syafie Ahmad Badarudin bersama 10 pegawai dan 58 anggota.

Ia merupakan kapal NGPV keempat selepas KD Perak yang turut berpangkalan di Kuantan selain KD Kedah dan KD Pahang, dengan kedua-duanya berpangkalan di Teluk Sepanggar dekat Kota Kinabalu.

No comments:

Post a Comment