Friday, March 12, 2010

Terengganu Akan Bina Segera Benteng Takungan Air Sg Pinang

Kerajaan Terengganu dalam tindakan segera mengatasi masalah kekurangan bekalan air di daerah Kemaman akan membina semula benteng di Sungai Pinang, kawasan takungan air yang runtuh baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata benteng tersebut akan dibina dengan lebih panjang, berbeza dengan keadaannya dahulu serta bertujuan bagi menghalang hakisan tanah daripada terus berlaku pada masa depan.

"Kita juga akan mendalamkan laluan air dari Sungai Pinang ke loji air mentah di sungai berkenaan supaya air dapat disedut dan disalurkan dengan lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas melawat loji air Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) di Kemaman semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gangguan bekalan air di daerah itu sejak Isnin lepas ekoran loji air mentah di Sungai Pinang tidak lagi mampu menampung keperluan pengguna kerana paras air sungai yang semakin merosot.

Loji air berkenaan yang mampu menampung bekalan air kepada 200,000 penduduk di daerah itu menghadapi masalah apabila paras air dari Sungai Pinang berterusan merosot.

Selain itu, Menteri Besar berkata SATU telah diarahkan supaya menjalankan kerja-kerja pemulihan dengan segera bagi mengatasi masalah bekalan air yang kini di tahap kritikal di daerah ini.

No comments:

Post a Comment