Thursday, March 18, 2010

Kegembiraan Anak Cemerlang PMR Bertukar Pilu Kediaman Terbakar

Kegembiraan sepasang suami isteri setelah anak mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaaan Penilaian Menengah Rendah baru-baru ini, bertukar pilu apabila kediaman mereka di Kampung Alor Tumang, Tok Jiring, dekat sini, musnah dalam satu kebakaran tengah hari semalam.

Zulkifli Embong, 44, ketika ditemui pemberita berkata, beliau sekeluarga baru lima hari selesai mengadakan kenduri kesyukuran kerana kejayaan anak keduanya, Hajar Azira Zulkifli, 16, penuntut Sekolah Menengah Lembah Bidong, Setiu, yang memperoleh 9A dalam PMR.

"Jumaat lepas saya mengadakan kenduri kesyukuran kejayaan anak saya, tetapi hari ini rumah saya terbakar. Semua perkakas rumah termasuk dua buah kereta hangus.

"Ada juga barang milik orang yang dipinjam semasa membuat kenduri baru-baru ini yang belum dihantar, turut terbakar. Kini kami sekeluarga tinggal sehelai sepinggang," katanya.

Zulkifli, yang bergegas pulang dari tempat kerja di sebuah kilang papan di sini, berkata ketika kejadian, isterinya Roziah Shaari, 36, bersama empat anak mereka tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah jiran tidak jauh dari situ.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Ahmad Fathi Abdul Rahman berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment