Seorang ketua sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu ditahan polis ketika hendak menghantar kad jemputan perkahwinannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata suspek yang berumur 28 tahun dari Kampung Banggol Pauh, Jalan Lapangan Terbang itu ditahan kira-kira jam 6 petang ketika menghantar kad jemputan kahwin kepada rakan bakal isterinya, yang juga adalah seorang pegawai wanita di IPK.
"Suspek adalah ketua sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu yang masih aktif mengedar dadah, dia amat licik dan sering berjaya melepaskan diri apabila polis melakukan operasi.
"Namun, semalam dia termasuk dalam perangkap polis apabila berani datang bersama bakal isterinya untuk menghantar kad jemputan kepada salah seorang pegawai wanita di IPK.
Dia mungkin menyangkakan polis tidak lagi mengecamnya," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Roslan, sebelum ini, lapan ahli kumpulan lelaki terbabit berjaya ditahan dalam satu operasi polis di Kampung Padang Midin, Oktober tahun lalu.
Namun, suspek yang dijadual berkahwin pertengahan bulan ini berjaya meloloskan diri dalam operasi itu.
Roslan berkata, suspek dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah dengan setiap kali urusniaga membabitkan setengah kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM125,000.
"Dia adalah pengedar yang besar kerana membabitkan wang yang banyak. Bayangkan satu kilogram syabu berharga RM250,000 dan dia biasa sekali mengedar membabitkan setengah kilogram syabu yang berharga RM125,000," katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka kini ditahan di bawah beberapa seksyen iaitu Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya serta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
No comments:
Post a Comment