Tuesday, March 9, 2010

Jangan terikut-ikut trend kahwin lari

Remaja perempuan dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan trend kahwin lari termasuk ke Lombok, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Asha’ari Idris berkata, walaupun kejadian itu tidak berlaku di Terengganu setakat ini, beliau percaya senario kahwin lari berlaku dalam masyarakat di negeri ini.

“Setakat ini tiada laporan diterima berhubung remaja perempuan lari ke Lombok tetapi kita percaya, gejala seperti ini tetap ada.

“Ada kes berlaku bukan kahwin lari tetapi berkahwin dengan rakyat Indonesia, mungkin termasuk dari Lombok ataupun mana-mana kawasan dari negara berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Asha’ari ketika mengulas berhubung trend remaja mengikut kekasih ke Lombok meminta golongan wanita berhati-hati dan tidak terjerat dengan cinta sedemikian kerana takut mengundang masalah.

Beliau berkata, banyak kejadian berlaku tidak mengikut prosedur undang-undang sehingga ditahan pihak berkuasa di negara terbabit dan secara tidak langsung menjejaskan imej negara.

Beliau tidak menolak keputusan sedemikian biasanya tidak berfikir panjang, selain membelakangkan ibu bapa yang mungkin akan mendatangkan masalah besar kemudian hari.

Sehubungan itu, Asha’ari meminta ibu bapa memberi perhatian sewajarnya terhadap anak masing-masing bagi memastikan mereka faham erti kehidupan dan matang membuat keputusan.

“Biasakan mereka dengan isu semasa berlaku ketika ini supaya mereka faham apa yang berlaku dan masalah yang dihadapi supaya mereka tidak mengambil tindakan serupa,” katanya.

No comments:

Post a Comment