Thursday, March 11, 2010

Koleksi Al-Quran Diraja Terengganu Dipamerkan Di MKIM

Koleksi Al-Quran Diraja Terengganu, Kepulauan Melayu abad ke-19M, dihasilkan untuk Sultan Zainal Abidin III (1866-1918) adalah paling menarik pameran "Di Sebalik Tabir: Fokus Terhadap Pemuliharaan" anjuran Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM).

Al-Quran itu unik kerana menggunakan ultramarine, satu bahan yang harganya lebih mahal dari emas.

Berikutan itu, orang ramai kini berpeluang menerokai dunia pemeliharaan artifak Islam di pameran berlangsung selama tiga bulan bermula Rabu hingga 10 Jun.

Ia bertujuan mendedahkan pengunjung mengenai proses dan peralatan digunakan dalam pemuliharaan sesebuah koleksi.

Konservator Pusat Konservasi MKIM Mukhtaruddin Musa berkata kesedaran masyarakat mengenai dunia pemuliharaan artifak dan profesion ini begitu kurang berbanding negara luar.

"Masyarakat ketika ini agak kurang memahami siapa yang dimaksudkan konservator kerana mereka lebih mengenali kurator. Fungsi konservator ini adalah membaik pulih dan memelihara artifak.

"Berlainan pula dengan kurator kerana mereka lebih menjerumus mencari maklumat mengenai sejarah bahan itu.

"Pameran ini bukan saja mendedahkan prosedur, teknik digunakan dalam proses pemuliharaan artifak malah memberi pengalaman baru kepada pengunjung terhadap kerjaya konservator," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan ke galeri, Rabu.

Pameran ini yang merupakan julung kali diadakan akan mempamerkan 30 buah artifak Islam terpilih dari pelbagai negara seperti Iran, China, India, Indonesia dan Kepulauan Melayu.

Selain a-Quran Diraja Terengganu, turut dipamerkan kendi serdak campuran biru firus (Iran), batu nisan (Sumatera, Indonesia), baju kurung (Semenanjung Tanah Melayu) dan kendi tembaga (India).

No comments:

Post a Comment