Monday, March 8, 2010

LTdL: Anuar memenangi jersi Raja Pecut.

Pelumba pasukan Porsche Stuart Shaw menjuarai peringkat terakhir perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 dari Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka sejauh 133.7km pada Ahad.

Pelumba pasukan Isd-Neri, Jose Rujano Guillen pula muncul sebagai juara individu keseluruhan (jersi kuning).


Anuar Manan yang mewakili pasukan Geumsan Asia pula menjadi pelumba tempatan pertama memenangi jersi hijau (Raja Pecut) dalam sejarah LTdL yang dianjurkan sejak 1996.

Sementara itu, ketiadaan pendaki di dalam skuad kebangsaan jelas menyebabkan mereka gagal menyerlah setelah ketinggalan kutipan masa apabila berakhirnya peringkat pendakian Genting Highlands, Pahang (peringkat keenam) semalam.
Skuad kebangsaan gagal menepati sasaran untuk menduduki tempat ke-12 secara keseluruhan setelah tamatnya peringkat ketujuh perlumbaan edisi ke-15 Le Tour de Langkawi (LTdL) Ahad.

Skuad bimbingan jurulatih William Walker itu sebaliknya sekadar menduduki tempat ke-14 daripada 20 pasukan yang bersaing dengan mengumpul masa keseluruhan 72 jam 63 minit 3 saat.

Pengurus pasukan kebangsaan Amrun Misnoh bagaimanapun tetap berpuas hati dengan pencapaian skuad kebangsaan itu.

"Sebelum ini kita sering mendapat tempat yang lebih corot, jadi pencapaian pada tahun ini tetap boleh dibanggakan kerana hanya menjalani latihan selama sebulan dengan Walker," katanya.

Amrun berkata jika tempoh latihan lebih panjang mungkin skuad kebangsaan akan mendapat kedudukan yang lebih baik namun mereka tetap menjadikan kejohanan ini sebagai iktibar.

"Saya telah berbincang dengan Walker dan selepas ini latihan akan lebih difokuskan kepada pendakian kerana itulah kelemahan kita sejak 15 tahun lepas.

"Kita juga di dalam perancangan untuk menghantar pelumba-pelumba Malaysia menjalani latihan pusat di Itali selepas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Dubai pada April ini," katanya.
Untuk kategori pasukan Asia, mereka menduduki tempat keenam daripada 12 pasukan yang bersaing ketinggalan 25 minit 56 saat daripada juara keseluruhan kategori itu, Tabriz Petrochemical Cycling (Iran) yang mengumpul 72 jam 37 minit 22 saat.

Pada peringkat pendakian itu, Amir Mustafa Rusli merupakan pelumba terbaik skuad kebangsaan di tempat ke-41 diikuti Shahrul Mat Amin (46), Ahmad Fallanie Ali (53), Mohd Zamri Salleh (76), Mohd Nur Rizuan Zainal (82) dan Akmal Amrun (102).

No comments:

Post a Comment