Monday, March 8, 2010

Kerajaan Tumpu Tenaga Kerja Dalam Negara

Kerajaan akan memberi tumpuan kepada tenaga kerja tempatan untuk dibangunkan bagi melibatkan diri mereka dalam sektor pekerjaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata terdapat dua juta pekerja asing yang berdaftar bekerja di negara ini pada tahun 2008.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu susut kepada 1.6 juta orang tahun lepas setelah berlaku krisis ekonomi dunia menyebabkan Malaysia turut menerima kesannya.

"Kita melihat bahawa bilangan tenaga kerja tempatan yang berpotensi dalam negara ada kira-kira 6.5 juta yang terdiri daripada suri rumah. Daripada jumlah itu hanya 46 hingga 47 peratus sahaja terlibat dalam sektor pekerjaan.

"Jika kita boleh tingkatkan kepada kadar 60 peratus, maka kita akan mempunyai tenaga yang berpotensi lebih daripada 1.2 juta daripada kaum wanita," kata beliau kepada pemberita selepas meramikan pelancaran Program Latihan Rangkaian Pemasaran anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu semalam yang turut dihadiri Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman.

Maznah berkata, bagi tujuan itu, ia memerlukan kerjasama daripada pihak lain untuk menyediakan kemudahan yang akan membolehkan wanita bekerja seperti di pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dan lain-lain.

Katanya, kerajaan juga melihat tenaga kerja daripada golongan pelajar, veteran dan juga orang kurang upaya (OKU) boleh ditingkatkan melalui latihan, khidmat sokongan mengikuti keperluan kumpulan sasar bagi menambah jumlah tenaga kerja dalam negara.

Beliau berkata, kerajaan yakin jika ini dapat dilaksanakan, dengan sendirinya dapat mengurangkan keperluan pekerja tenaga asing dalam pekerjaan yang sesuai dibuat oleh kumpulan sasar berkenaan.

Maznah berkata, kementeriannya akan meminda Akta Kerja 1955 supaya mereka yang bekerja separuh waktu yang melibatkan semua golongan akan dapat didaftarkan secara sistematik bagi membolehkan kementerian membuat pemantaun.

"Sekarang dah ada pelajar bekerja, tinggal lagi daripada pelindungan hak dan lain-lainnya mungkin tidak terjamin kerana tidak ada penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata, sekarang terdapat kira-kira 143,000 kekosongan pekerjaan dalam negara yang merangkumi sektor pengurusan, pertengahan dan pekerja biasa.

No comments:

Post a Comment