Saturday, March 6, 2010

LTdL: Nishitani Kuasai Peringkat Ke-4, Anuar Terlepas Jersi Hijau

Taiji Nishitani dari pasukan Aisan Racing memenangi peringkat keempat perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 dari Mersing ke Parit Sulong, kelamrin.
Pelumba Jepun itu mencatatkan masa tiga jam 50 minit dan 11 saat, kejayaan pertama buat pasukan Aisan Racing Team.

" Saya sangat gembira dan puas hati kerana ini kemenangan pertama saya dalam LTdL dan apa yang paling penting dapat mencapai sasaran saya untuk menang satu peringkat," katanya semalam.

Nishitani, 29, berkata selepas kegagalan pada tiga peringkat sebelum ini, mereka telah berbincang untuk mengadakan strategi baru dan hasil kerjasama yang baik daripada rakan sepasukan, mereka berjaya.

Perlumbaan semalam menyaksikan pelumba-pelumba menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar walaupun ada usaha-usaha untuk keluar daripada kelompok itu selepas 44 km pertama oleh pelumba Malaysia Ahmad Fallanie Ali dan Silvere Ackermann daripada pasukan Vorarlberg Corratec.
Sementara itu, setelah tiga peringkat menyarung dua jersi, Anuar Manan terpaksa melepaskan jersi hijau (raja pecut) namun masih mengekalkan kedudukan selaku pelumba terbaik Asia (jersi biru).

Seteru utama pelumba kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu, Michael Matthews dari pasukan Jayco-Skins akhirnya berjaya merampas jersi hijau dengan mengutip 72 mata, dibezakan dua mata dengan Anuar di tangga kedua.

Matthews pada Khamis menamatkan perlumbaan di tempat kedua sekaligus meraih 14 mata bonus pecutan berbanding Anuar yang menamatkan pelumbaan di tempat keenam.

Di tiga zon pecutan pada peringkat keempat ini, Matthews berjaya mengutip lima mata setelah menjuarai zon pecutan pertama di Jemaluang, Mersing sementara Anuar pula sekadar mengutip dua mata.

"Peringkat keempat ini memang memenatkan saya kerana terpaksa bersaing dengan Matthews sejak awal hingga akhir perlumbaan.

"Memang saya agak kecewa kerana terlepas jersi hijau namun tetap bersemangat untuk merampasnya kembali esok (peringkat kelima) dari Muar ke Port Dickson," katanya selepas perlumbaan sejauh 163.5 kilometer itu.

Pelumba pasukan dari Korea Selatan, Geumsan Ginseng Asia itu berkata amat jelas Matthews yang berasal dari Australia mendapat bantuan rakan-rakannya yang lain serta pelumba-pelumba kelahiran Australia terutamanya daripada pasukan Drapac Porsche.

"Saya hanya dibantu oleh rakan-rakan sepasukan sahaja walaupun telah cuba meminta bantuan pelumba-pelumba dari Malaysia yang bersaing pada LTdL tahun ini.

"Tapi mungkin mereka mempunyai strategi dan sasaran sendiri untuk dicapai. Mungkin juga susah untuk mereka bantu sebab pelumba-pelumba berkayuh dengan kelajuan yang agak laju," katanya.

Sementara itu jersi kuning selaku pendahulu kategori individu kekal menjadi milik pelumba pasukan Tabriz Petrochemical Cycling, Tobias Erler dengan mengumpul masa keseluruhan 15 jam 36 minit 13 saat.

Peter McDonald dari pasukan Drapac Porsche pula terus mengukuhkan kedudukan untuk jersi polka dot selaku Raja Bukit apabila mengumpul 11 mata keseluruhan diikuti Silvere Ackermann dengan enam mata.

Perlumbaan peringkat kelima esok dari Muar ke Port Dickson sejauh 111.5km akan menampilkan 113 pelumba daripada 20 pasukan yang bersaing pada edisi ke-15 ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment