Sunday, March 28, 2010

Marang terima peruntukan lebih RM6 juta

Siri turun padang oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berterusan apabila Khamis (24 Mac 2010) lalu beliau berada di daerah Marang.

Dua program sepanjang hari – pagi dan petang - menyaksikan program itu memang dinantikan rakyat, lebih-lebih lagi pemimpin peringkat kampung.

Menariknya lawatan dan persiapan penduduk setempat berbaloi kerana Ahmad Said turut meninggalkan buah tangan untuk penduduk di kawasan berkenaan.

Walaupun disebut peruntukan diluluskan kira-kira RM6 juta, itu tidak termasuk memperbaiki dan meluaskan beberapa batang jalan, termasuk sebahagian jalan utama antara Kuala Terengganu – Kuala Berang dalam daerah Marang.

Menurut laporan wartawan Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Esah Abdullah, kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Marang menjadi lokasi ke lima turun padang Ahmad Said.
Misinya, melihat sendiri masalah rakyat!

Antara yang menjadi tumpuan ialah cadangan membaik pulih infrastruktur seperti longkang, jalan raya dan sistem peparitan parit yang sedia ada.

Berikutan itu, kerajaan negeri meluluskan RM4 juta iaitu masing-masing RM2 juta kepada Majlis Daerah Marang (MDM) Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) bagi tujuan itu.

Ahmad Said berkata infrastruktur perlu dititikberatkan di setiap PBT bagi mengelak berlakunya kejadian banjir secara berulang dan kemalangan jiwa, selain dapat memberi keselesaan kepada masyarat setempat.

Katanya, pihaknya mengakui kawasan, PBT Marang sering dilanda banjir berikutan kekurangan kawasan tadahan air dan wujudnya pelbagai projek perumahan.

“Dalam masa terdekat dan menanganinya secara serius, kerajaan negeri meluluskan RM4 juta bagi menaiktaraf Sungai Lembam, Sungai Buaya, Sungai Seriting, Sungai Seluang, sistem peparitan, jalan raya kampung dan beberapa longkang di kawasan perumahan.

“MDM perlu menjalankan kajian terperinci terhadap saiz longkang `monsoon drain’ kerana saya tidak mahu lagi mendengar rungutan penduduk kampung mengenai banjir,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja itu.

Turut menyertai lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan, Infrastruktur, dan Kemudahan Awam, YB Encik Khatib Mohamad, Yang Dipertua MDM Ibrahim Mohamed, Pengarah JPS, Ir. Hj Mat Hussin Bin Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Ahmad Said berkata, setiap kali membina longkang sewajarnya pihak berwajib mengikut standard terkini `oversize’berbanding sdebelum ini bersaiz lapan kaki berikutan pembangunan semakin pesat.

“Tidak rugi mempunyai besar longkang sehingga 16 kali kerana kawasan tadahan air seperti paya dan lembah semakin berkurangan, jadi longkang besar ini menjadi saluran penting untuk laluan air hujan,” katanya.

Pada lawatan itu, Ahmad Said sempat meninjau beberapa taman perumahan dan kawasan perparitan sekitar Tasek, Bukit Payong, Macang Lada, Serating, Merchang, Kampung Paya dan Seberang Marang.

No comments:

Post a Comment