Terengganu mengenal pasti tiga kawasan di negeri ini untuk pembinaan tiga buah kilang memproses kenaf yang bernilai RM40 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Rozi Mamat berkata ketiga-tiga kilang tersebut yang dijangka dibina tahun ini serta mendapat kerjasama beberapa buah syarikat asing, akan dibangunkan di Mercang, Marang, Saujana (Setiu) dan Gong Medan (Besut).
"Kilang di Marang berharga RM24 juta manakala di Setiu (RM4 juta) dan di Besut berjumlah RM12 juta. Kilang-kilang ini berfungsi sebagai tempat memproses kenaf untuk dijadikan makanan ternakan dan lain-lain," katanya selepas majlis penyampaian bantuan ehsan kepada penanam tembakau semalam.
Rozi berkata penubuhan tiga kilang tersebut mampu menggalakkan industri penanaman kenaf di negeri ini.
"Kita kini hendak menggalakkan bekas penanam tembakau supaya menanam kenaf berikutan syarikat tembakau dilihat mula mengecilkan kuota pengeluaran tembakau dari setahun ke setahun," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM8 juta untuk bantuan tanaman kenaf di Terengganu dengan sasaran tanaman seluas kira-kira 500 hektar tahun ini.
"Harga kenaf sekarang ini telah meningkat kepada RM500 satu tan berbanding RM350 satu tan sebelum ini dan kerajaan sentiasa berbincang dengan bekas penanam tembakau supaya mereka berminat dengan tanaman kenaf," katanya.
Dalam pada itu, Rozi berkata kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM12 juta kepada bekas penanam tembakau untuk menceburi bidang tanaman kontan.
Terdahulu, seramai 121 penanam tembakau di Terengganu menerima bantuan ehsan berjumlah RM114,000 bagi meringankan beban mereka khususnya ketika berdepan kegawatan ekonomi.
TAHNIAH ! YB ROZI B. MAMAT.
ReplyDeleteSENTIASA KREATIF DENGAN INOVATIF SUMBER ALAM
TERENGGANU DARUL IMAN .