Wednesday, March 3, 2010

MM Vitaoils Raih Jualan RM2 Juta Pada Gulfood 2010

MM Vitaoils Sdn Bhd, pengeluar minyak sawit hiliran Malaysia, berjaya meraih jualan dianggarkan bernilai RM2 juta pada pameran Gulfood 2010 di sini minggu lepas.

Syarikatnya adalah antara 50 syarikat Malaysia berkaitan makanan, termasuk lima di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu, yang dibawa oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk pameran pada 21-24 Feb. Lalu.

Penolong Pengurus Dagangannya Mohamad Munir Jawead berkata beliau gembira dengan sambutan pembeli yang mengunjungi gerai syarikat di pavilion Malaysia.

"Kami menjangka permintaan bagi produk berasaskan minyak sawit di Teluk dan rantau berdekatan akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang," kata beliau kepada Bernama sambil melayan pelanggan bersama pegawai kanan syarikat Mohamad Faizal Aris.

Beroperasi di kilang di Shah Alam, MM Vitaoils mengeluarkan minyak masak, lelemak, margerin dan minyak sapi sayur-sayuran.

Mohamad Munir berkata syarikatnya kini mengeksport ke 76 negara di seluruh dunia.

"Gulfood, yang merupakan pameran makanan terbesar di Timur Tengah, adalah acara penting bagi MM Vitaoils memandangkan kami mahu terus memperluaskan kehadiran kami di luar negara," katanya.

Edisi 2010 merupakan penyertaan ketiga syarikat di Gulfood.

No comments:

Post a Comment